KERJA sebumbung memudahkan Muhammad Fitri dan isteri, Siti Amira berulang-alik ke tempat kerja bersama.
KERJA sebumbung memudahkan Muhammad Fitri dan isteri, Siti Amira berulang-alik ke tempat kerja bersama.
Zaitie Satibi

Rata-rata pasangan suami isteri berharap selalu dapat bersama termasuk dalam soal pekerjaan. Kalau boleh, mereka mahu kerja sebumbung supaya senang perjalanan pergi dan balik.

Masa yang ada apabila bekerja sebumbung dapat dimanfaatkan untuk mengukuhkan hubungan antara suami isteri. Kedua-duanya dapat berkongsi masalah dan perasaan berikutan pasangan juga melihat dan memahami apa yang terjadi.

Walaupun ia juga boleh meningkatkan motivasi antara pasangan, namun boleh wujud potensi konflik apabila suami isteri bekerja sebumbung terutama dalam satu jabatan.

Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga Dr Robiah Kulop Hamzah berkata, kebanyakan majikan terutama dalam jabatan kerajaan tidak menggalakkan pasangan suami isteri bekerja dalam pejabat yang sama bagi mengelakkan konflik kepentingan.

Ini berlaku jika pasangan mempunyai jawatan lebih tinggi dan mengamalkan sikap pilih kasih sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan sepejabat.

“Sepatutnya suami isteri walaupun bekerja satu pejabat, mestilah bersikap profesional. Selain perlu bijak menguruskan tanggungjawab diamanahkan, mereka juga mestilah sentiasa berhati-hati mengawal tingkah laku yang menggambarkan suami isteri.

“Apabila berada di pejabat bertindaklah sebagai rakan atau pekerja bukan suami isteri. Ini bagi mengelakkan timbul masalah berkaitan konflik kepentingan atau sikap berat sebelah apabila pasangan mendapat layan lebih istimewa.

“Sikap setengah individu juga mungkin berbeza ketika di rumah dan berlainan ketika di pejabat. Oleh itu, jangan campur adukkan masalah peribadi dengan tugas di pejabat bagi memastikan ia tidak memberi sebarang tekanan,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan juga suami isteri yang bekerja sebumbung dikatakan dapat menjimatkan kos petrol kerana perjalanan pergi dan balik pejabat satu hala. Dengan faktor kos hidup dan harga petrol yang semakin meningkat, perkara ini secara tidak langsung akan memberikan keuntungan dan faedah kepada pasangan suami isteri berkenaan.

Bagaimanapun, Dr Robiah berkata, suami isteri yang berlainan tempat kerja terutama pasangan jarak jauh boleh menyumbang kepada kekurangan produktiviti, selain perlu menampung kos hidup yang lebih tinggi.

“Faktor berjauhan daripada keluarga bukan saja menyebabkan kenaikan kos sara hidup mereka, malah mungkin menyumbang kepada masalah sosial, khususnya perceraian yang semakin meningkat pada masa ini.

“Ini kerana faktor hidup berjauhan mampu menjadi masalah besar kepada pasangan berkaitan isu kepercayaan dan kejujuran yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga,” katanya.

Tetapkan peraturan

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan sering kali berlaku individu yang menemui pasangan hidupnya di tempat kerja. Demikian yang terjadi kepada pasangan suami isteri, Muhammad Fitri Hasin, 33, dan Siti Amira Baharom, 30, apabila mereka bertemu jodoh di tempat kerja di Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL).

Mengimbas detik pertemuan kedua-duanya, Muhammad Fitri yang juga kerani jabatan maklumat menceritakan antara rutin tugasnya adalah menghantar fail ke klinik pakar iaitu unit yang memberi perkhidmatan sokongan di hospital berkenaan.

“Saya sering berurusan dengan Siti Amira yang bertugas sebagai pembantu klinik kanan. Oleh kerana sering bertemu, ia menerbitkan rasa cinta dan kami berkawan rapat untuk saling mengenali hati budi sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

“Kami bersyukur kerana majikan tidak menghalang pasangan suami isteri bertugas di tempat yang sama asalkan berlainan jabatan. Kini, usia perkahwinan kami sudah menjangkau lima tahun dan setakat ini kami tiada masalah untuk kerja sebumbung,” katanya.

Muhammad Fitri berkata, beliau dan isteri turut membuat peraturan sendiri bagi menjaga kerukunan rumah tangga dan pada masa sama masing-masing bersikap profesional di tempat kerja dengan tidak membawa pulang masalah kerja ke rumah dan begitu juga sebaliknya .

“Kami sering berkongsi masalah masing-masing dan meluahkan apa yang terbuku bagi melepaskan segala yang terpendam supaya tidak menjadi beban. Tetapi, kami seimbangkan hal antara kerja dan keluarga.

“Malah, kami agak beruntung disebabkan masing-masing berada dalam persekitaran yang sama membolehkan komunikasi kami berjalan lancar kerana saya faham apa yang isteri hadapi begitu juga isteri tahu apa saya buat,” katanya.

MUHAMMAD FITRI dan isteri, Siti Amira meluangkan masa makan bersama pada waktu rehat.
MUHAMMAD FITRI dan isteri, Siti Amira meluangkan masa makan bersama pada waktu rehat.

Begitupun, Muhammad Fitri tidak menafikan pernah diejek rakan berikutan mengahwini rakan sekerja dan antara kata-kata dilayangkan kepadanya seperti ‘sayang isteri lebih’, ‘takut isteri’ dan ‘tidak boleh berenggang’.

“Apapun ejekan rakan saya anggap sebagai gurauan. Bukan semua yang mengejek, malah ada yang kagum kerana kami dapat bekerja di tempat yang sama tanpa menimbulkan masalah.

“Malah, bagi saya suami isteri yang bekerja di tempat yang sama turut dapat menjimatkan kos pengangkutan kerana kami menaiki kenderaan yang sama pergi dan balik kerja,” katanya.

Menurut Siti Amira, beliau berpendapat pasangan suami isteri yang bekerja sebumbung dapat menjaga tingkah-laku masing-masing kerana ingin menjaga nama baik pasangan mereka.

“Saya lebih berdisiplin di tempat kerja kerana tidak mahu suami terpalit dengan imej buruk jika saya tidak membuat kerja dengan betul. Ini kerana, orang akan bercerita jika saya sering membuat kesilapan di tempat kerja dan pastinya ia akan sampai ke telinga suami.

“Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab di tempat kerja. Malah, saya juga sering mengingatkan suami perkara yang sama.

“Selain itu, kami menjadi lebih mengambil berat antara satu sama lain. Misalnya, jika waktu rehat saya tidak sempat makan kerana banyak kerja suami akan membelikan makanan bungkus untuk saya,” katanya.

Saling melengkapi

Sementara itu bagi pasangan suami isteri, HM Syah Ab Hamim, 38 dan Noor Shaima Md Sarif, 34, percintaan jarak jauh sebelum mendirikan rumah tangga mendorong mereka mencari pekerjaan dalam bidang yang sama dan tempat yang sama supaya tidak lagi berjauhan.

HM Syah berkata, beliau mengenali Noor Shaima menerusi laman sembang dalam talian pada 2004 dan pada masa itu beliau bekerja di Kuala Lumpur, manakala isterinya ketika itu masih belajar di sebuah kolej swasta di Melaka.

“Selepas dua tahun berkenalan baru kami bersemuka dan isteri juga yang kebetulan baru habis belajar berpindah ke ibu negara untuk bekerja.

“Kami kemudian berpakat membuat pekerjaan yang sama supaya masing-masing tidak berpisah lagi. Kami melakukan pelbagai pekerjaan seperti ejen jualan langsung dan insurans sebelum menjadi penasihat jualan kenderaan di sebuah galeri pameran kenderaan,” katanya.

HM SYAH berpeluang berbincang bersama isteri, Noor Shaima, dalam menguruskan jual beli kenderaan di mana-mana sahaja.
HM SYAH berpeluang berbincang bersama isteri, Noor Shaima, dalam menguruskan jual beli kenderaan di mana-mana sahaja.

Katanya, selepas mendirikan rumah tangga pada 2013 mereka mengambil keputusan untuk berhenti dari galeri pameran berkenaan dan bekerja secara bebas. Mereka menjadikan rumah sebagai pejabat, manakala urusan dengan pelanggan lebih banyak menggunakan platform atas talian.

“Bagi kami tiada istilah jemu dengan pasangan masing-masing walaupun sentiasa bersama 24 jam. Dalam melakukan pekerjaan ini, kami saling melengkapi antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai kemahiran sendiri.

“Isteri mahir berkomunikasi dengan pelanggan, manakala saya lebih banyak mengendali urusan dengan pihak bank dan melakukan pemasaran dalam talian. Kami juga lebih banyak berurusan dengan pelanggan menerusi emel dan aplikasi media sosial DreamCar4u, namun kenderaan yang dibeli dihantar sendiri ke rumah pelanggan.

“Rata-rata pelanggan selesa berurusan dengan kami selepas mendapat tahu kami adalah pasangan suami isteri. Ini kerana, mereka lihat sendiri cara kerja kami yang profesional yang tidak mencampur-adukkan urusan rumah tangga dan dari situ kami bina kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan kami,” katanya.

Menurut Noor Shaima, memang bukan mudah bagi suami isteri untuk bekerja bersama kerana banyak cabaran tersendiri, bagaimanapun apa yang penting bagi mereka adalah membentuk keserasian yang baik.

“Kami sentiasa bertolak-ansur bukan saja dalam urusan rumah tangga, malah berkaitan kerja sekalipun. Dengan keserasian dalam pekerjaan juga membolehkan kerjasama antara suami isteri berjalan lancar.

“Suami isteri perlu saling menghormati dan sebagai isteri saya sentiasa ingat kedudukan suami sebagai ketua keluarga. Memang kami juga ada perselisihan pendapat terutama dalam hal kerja, tetapi masalah yang timbul diselesaikan cara baik,” katanya.

KERJA bersama tanpa pejabat memudahkan HM Syah (kiri)
KERJA bersama tanpa pejabat memudahkan HM Syah (kiri)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 11:30 AM