EDNA
EDNA
ANAK cambah brokoli dikatakan mengandungi sumber antikanser.
ANAK cambah brokoli dikatakan mengandungi sumber antikanser.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Khasiat sayur-sayuran memang diakui dapat membantu mengekalkan kesihatan tubuh. Namun, masih ramai yang membenci sumber penting ini untuk diamalkan dalam diet seharian.

Alasannya, pahit, rasa pelik dan tidak enak lantas mereka lebih rela mengasingkannya daripada hidangan sebelum hilang selera. Bagaimanapun, mereka harus menerima hakikat bahawa tubuh sememangnya memerlukan sayur untuk membolehkan kita hidup sihat.

Sayuran boleh dikelaskan ke dalam kumpulan atau keluarga biologi yang dibahagikan kepada enam iaitu menjalar, akar, cruciferous, berdaun hijau, batang dan bebawang.

Perunding Diet Farmasi Unicare Edna Loh berkata, sayuran dari kumpulan cruciferous diketahui mengandungi sejumlah besar sulforaphane, terutama pucuk brokoli.

Katanya, anak cambah seperti alfalfa, tetapi dengan rasa seperti lobak, dan mengandungi 20 hingga 50 kali lebih besar daripada sulforaphane daripada brokoli matang.

Menurutnya, sulforaphane dikenali untuk mengaktifkan laluan Nrf2 yang mengatur lebih daripada 200 gen, termasuk yang berkaitan dengan antioksidan, antiradang dan detoksifikasi.

Oleh itu, sulforaphane boleh melindungi daripada keradangan kronik, meningkatkan keupayaan antioksidan sel dan menghilangkan toksin dan bahan kimia penyebab kanser.

“Sehingga kini, lebih 2,000 kajian sudah dijalankan mengenai potensi sulforaphane untuk melawan kanser. Penyelidikan yang relevan menunjukkan bahawa sulforaphane mempunyai ciri-ciri kemungkinan antikarsinogen dan mungkin bermanfaat dalam memerangi jangkitan H Pylori, kanser prostat dan pundi kencing.

“Sulforaphane juga dikenali kerana potensi untuk memerangi obesiti, merangsang detoksifikasi terhadap pencemaran udara dan meningkatkan perlindungan kulit terhadap kerosakan akibat sinaran ultra ungu,” katanya.

Antara tumbuhan yang boleh dimakan untuk mendapatkan manfaat sulforaphane adalah dari keluarga cruciferae dan genus Brassica. Keluarga ini dikenali sebagai sayur-sayuran cruciferous (anak cambah, brokoli, kubis bunga, mustard, cress, pucuk brussel).

Diet pencegahan kemoterapi yang diperoleh mungkin bermanfaat bagi pesakit kanser berisiko tinggi dan meningkatkan kelangsungan hidup melalui pilihan pemakanan yang ringkas dengan makanan mudah diakses.

Menurut Global Market Insights, menjelang 2024, pakar menjangkakan pertumbuhan 7.5 peratus dalam industri makanan dan produk makanan Asia Pasifik seperti sulforaphane.

Pemacu utama untuk permintaan produk adalah nutrien yang boleh meningkatkan kesihatan buah pinggang, memerangi radikal bebas dan meremajakan kulit.

Menurut Edna, ramai tertanya-tanya cara mudah mendapat sulforaphane. Jawapannya, tidak mudah sama sekali.

Katanya, kebanyakan kajian mengesyorkan ia dimakan mentah kerana memproses sayur-sayuran dari kumpulan ini menyebabkan kemerosotan enzim mirosinase dan penurunan hidrolisis.

“Perkara paling penting yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana cara anda memasaknya (misalnya masa mengukus), bukan dengan apa ia dimasak (seperti lemak, protein) yang akan mempengaruhi sifat dalam brokoli.

“Bagaimanapun terdapat cara untuk melindungi sulforaphane iaitu dengan penambahan biji sawi ketika mendidihkan sayur-sayuran dari kumpulan ini.

“Teknik ‘tekan dan tahan’ iaitu memotong dan meninggalkan sayuran selama 30 hingga 45 minit juga boleh dilakukan untuk membolehkan pembentukan sulforaphane. Selain itu tempoh pemanasan sayuran ini juga penting untuk mengekalkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 11:31 AM