BUSANA boleh kelihatan mewah sekalipun warna gelap digunakan jika kena dengan potongan.
BUSANA boleh kelihatan mewah sekalipun warna gelap digunakan jika kena dengan potongan.
Siti Zarinah Sahib


Tatkala model melangkah penuh gaya, beraksi di hadapan kamera, sudah pasti pandangan tertumpu pada gaun putih berpotongan A dengan perincian pada bahagian busana menampakkan ciri elegan, mewah dan berada dalam kelas tersendiri.

Tidak hairan mengapa warna suci ini sering dipilih untuk merakamkan ilham kreatif pereka. Selain tidak jemu dipandang, warna seangkatan seperti krim, kuning cair dan champagne turut mempunyai peminat tersendiri. Saban tahun rona asas ini tidak pernah lapuk ditelan zaman malah semakin disukai mempelai disebabkan ia bersifat segar, mudah digayakan dan kelihatan mewah.

Menurut pemilik Azura Couture, Azura Mazaruddin putih, krim dan champagne adalah warna popular sepanjang masa. Kebanyakan mempelai memilih putih disebabkan mudah dipadankan dengan hiasan pelamin.

“Pada masa sekarang saya cuba memperkenalkan biru gelap dan hitam. Mungkin ramai kurang yakin dalam pemilihan rona gelap. Jika kena dengan potongan busana ia menampakkan kemewahannya,” katanya.

Katanya lagi, ada busana kelihatan cantik pada pandangan mempelai namun apabila disarung ke tubuh ia tidak seperti yang diharapkan. Sebab itu pentingnya mengetahui konsep acara yang akan dihadiri.

Azura yang berkecimpung dalam bidang fesyen sejak 10 tahun lalu mengakui dalam menghasilkan rekaan perlu mengikut cita rasa pengantin berdasarkan kesesuaian dan bentuk tubuh.

“Bagi saya, baju yang hendak digayakan perlulah senang dijahit dan tidak sarat. Mempelai pula berasa selesa kerana mudah bergerak dan tidak berlebih-lebihan dalam penggayaan,” katanya.

Bagi mendapatkan persefahaman di antara pelanggan dan pereka, Azura mengamalkan sikap jujur dalam menguruskan perniagaannya. Ia merangkumi semua aspek seperti membina kepercayaan dua hala antara dirinya dengan pelanggan.

“Ketika berurusan dengan pelanggan, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kepercayaan. Jika tidak, mana mungkin kami saling dapat bekerjasama dengan baik. Sikap jujur perlu ada dan saya melayan setiap pelanggan sama rata,” katanya yang meletakkan layanan baik sebagai keutamaan.

Sering tampil dengan rekaan yang lebih elegan, kreatif dan tersendiri, sebagai pereka wanita dia mempunyai kelebihan dari segi potongan yang menjadi kegemaran wanita. Dia lebih memahami berbanding pereka lelaki terutama dari segi bentuk tubuh, kelemahan serta kelebihannya.

Pun begitu, perbincangan tetap diadakan bagi mencari keserasian. Sering kali pelanggan memberikan kebebasan kepada Azura untuk berkarya.

“Saya perlu mengetahui kekurangan dan kelebihan diri mempelai. Kekurangan ini akan ditutupi dengan perincian pada bahagian tertentu,” tutur Azura yang menitikberatkan pemilihan fabrik yang bukan sahaja selesa tetapi juga mudah digosok, selain tidak mudah berkedut.

Menggunakan material sifon, renda dan organza, untuk mempelai yang memiliki bentuk tubuh langsing, jahitan manik sangat perlu bagi menyerlahkan sisi si pemakai. Bagi mempelai berbadan besar pula perlu menggunakan material sesederhana mungkin tanpa perincian manik atau batu permata.

“Ini kerana busana yang sarat akan menyukarkan pergerakan dan menampakkan mereka lebih gempal,” katanya.

Melangkah setapak dengan menghasilkan rekaan sedia dipakai, Shelle’e Belle’e by Azura Couture, Azura turut melahirkan rasa teruja dengan penghasilan padanan untuk remaja. Jenama ini memberi tumpuan kepada keselesaan dan perkhidmatan.

“Rekaan sedia dipakai Shelle’e Belle’e disediakan dalam pelbagai saiz dan sesuai digayakan secara kasual mahupun acara istimewa.

“Alhamdulillah saya sedang merancang membina laman web sendiri bagi memudahkan urusan jual beli agar ia lebih cepat dan cekap,” ungkap Azura ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 4:49 AM