ZUBIR (kiri) dan Maryam mengambil tempahan buku resipi dan biskut hamper korporat menerusi dalam talian.
ZUBIR (kiri) dan Maryam mengambil tempahan buku resipi dan biskut hamper korporat menerusi dalam talian.
ANAK yatim dan asnaf mendapat pendidikan tahfiz percuma di Pertubuhan Nur Kasih.
ANAK yatim dan asnaf mendapat pendidikan tahfiz percuma di Pertubuhan Nur Kasih.
PERTUBUHAN Nur Kasih tidak harapkan sumbangan orang ramai semata-mata.
PERTUBUHAN Nur Kasih tidak harapkan sumbangan orang ramai semata-mata.
Zaitie Satibi

Tidak mahu terlalu berharap kepada bantuan atau sumbangan orang-ramai semata-mata mendorong Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih (Pertubuhan Nur Kasih) di Klang, Selangor mengambil langkah proaktif menjana sumber kewangan sendiri.

Pelbagai projek ekonomi dijalankan seperti jualan pakaian terpakai yang disumbangkan orang ramai menerusi kedai bundle Nur Kasih Charity Shop, jualan roti, kek dan biskut dari Nur Kasih Bakeri, perkhidmatan mencuci pakaian di Dobi Nur Kasih, jualan buku resipi, Nur Kasih Biznet dan projek tanaman cili fertigasi.

Timbalan Pengerusinya, Zubir Omar berkata, langkah itu bagi menjadikan pertubuhan berkenaan yang turut menempatkan asrama didiami 50 kanak-kanak dan remaja anak yatim serta asnaf berusia lima hingga 17 tahun mempunyai kewangan yang mapan.

Ini kerana pihaknya memerlukan perbelanjaan tinggi kira-kira RM30,000 sebulan untuk menampung keperluan kanak-kanak dan remaja berkenaan termasuk pendidikan mereka serta kos operasi.

“Pelbagai projek ekonomi yang boleh menjana dana untuk anak yatim dan asnaf ini dijalankan kerana kami sedar tidak boleh mengharapkan bantuan saja. Sumbangan diterima lazimnya bermusim seperti menjelang perayaan.

“Malah, kami pernah putus duit pada peringkat awal penubuhan pertubuhan ini gara-gara menunggu sumbangan. Oleh itu, cara untuk menambah pendapatan ialah dengan perniagaan yang dimulakan dengan jualan pakaian terpakai diusahakan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menyingkap sejarah Pertubuhan Nur Kasih, Zubir berkata, asrama kebajikan itu diasaskan ibunya yang juga pesara guru kira-kira 10 tahun lalu. Ibunya yang sangat prihatin dengan kesusahan orang lain mewakafkan rumah banglo enam bilik di Kampung Sungai Pinang, Klang untuk dijadikan asrama.

Hasil infak dan sumbangan amal jariah daripada orang ramai, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, Pertubuhan Nur Kasih mampu meneruskan operasinya untuk membiayai bukan saja anak yatim dan asnaf, malah meringankan beban ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas.

Menurut Zubir, dalam usaha menguruskan pertubuhan berkenaan beliau dibantu isteri, Maryam Shafie yang turut bertindak sebagai pengurus Pertubuhan Nur Kasih dan dua anak mereka serta seorang menantu perempuan.

“Setiap orang mempunyai peranan menguruskan projek ekonomi yang dijalankan. Penjanaan pendapatan dijalankan sebaik mungkin untuk menjamin kelangsungan. Terbaru, kami menerbitkan buku resipi menggunakan periuk tekanan Noxxa.

“Sebanyak 92 resipi yang diinfak oleh seorang tenaga pengajar masakan dimuatkan dalam buku itu yang dijual dalam talian pada harga RM35.

“Bagaimanapun, kami sudah merancang beberapa projek ekonomi untuk masa akan datang. Antaranya, tanaman cili fertigasi sebanyak 300 pokok,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan penyumbang lebih gemar menghulurkan bantuan atas nama projek ekonomi yang dijalankan. Contohnya, membeli roti daripada mereka dan menghantarnya ke sekolah, masjid dan pusat kebajikan lain.

“Kami turut mengusahakan Maahad Tahfiz Nur Kasih yang kini dalam pembinaan untuk memberikan pengajian tahfiz percuma kepada anak yatim dan asnaf yang tidak mampu. Selain pengajian al-Quran, maahad ini juga menyediakan kelas komputer.

“Bagi mereka yang ingin menyumbang atau mendapatkan produk dan perkhidmatan ditawarkan kami, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman Facebook Pertubuhan Nur Kasih. Selain jualan buku resipi, kami juga mengadakan jualan biskut untuk hamper korporat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 1:34 PM