LEBIH 5,000 barangan runcit boleh dibeli pelanggan dalam talian.
LEBIH 5,000 barangan runcit boleh dibeli pelanggan dalam talian.
Aniza Zainudin


Mengikuti trend pembelian pelanggan terkini, AEON Co (M) Bhd memperkenalkan sistem pembelian dalam talian apabila menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat perkhidmatan penghantaran ke pintu, honestbee, 24 Januari lalu.

Pengarah Urusan AEON, Shinobu Washizawa berkata, kerjasama menjadi inisiatif terbaru bagi membentuk perkhidmatan baru yang bersesuaian dengan permintaan pelanggan.

“Perkhidmatan pembelian dalam talian dan penghantaran ke pintu bersama honestbee ini memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati pembelian dengan cara lebih mudah.

“Untuk permulaan, kami menjadikan AEON Mid Valley sebagai lokasi perkhidmatan pembelian peribadi pertama honestbee.

“Perkhidmatan ini boleh dinikmati pelanggan yang menetap dalam jarak 17 kilometer dari AEON Mid Valley. Mereka akan menerima pesanan dalam tempoh satu jam, tertakluk pada kekosongan slot dan barangan runcit tersenarai.

“Pembelian dan penghantaran barangan segar dan kering ini dilaksanakan sepanjang tempoh AEON Mid Valley beroperasi.

“Menerusi platform ini, pelanggan boleh melakukan pembelian kira-kira 5,000 barangan runcit dan ia akan bertambah mengikut perkembangan semasa,” katanya dalam sidang media di AEON Mid Valley.

Menurut Shinobu, pihaknya akan melakukan pemantauan rapi mengenai maklum balas dan permintaan pelanggan, selain mempertimbangkan untuk memperluaskan perkhidmatan ke cawangan lain serta penawaran barangan.

Tambahnya lagi, AEON menyasarkan antara 3,000 hingga 5,000 pelanggan bakal menggunakan perkhidmatan inovasi berkenaan.

Berusaha mempelbagaikan pengalaman membeli-belah kepada pelanggan, Shinobu juga optimis dengan kombinasi kepakaran syarikat itu yang menawarkan perkhidmatan berkenaan di lapan negara lain.

Sementara itu, Pengurus Besar Negara honestbee, Marianne Chuo berkata, sebagai pemacu utama kejayaan sektor peruncitan, pihaknya sentiasa mengikut perkembangan dalam menawarkan kebolehpercayaan kepada pelanggan.

Sebagai pengenalan perkhidmatan, pelanggan baru berpeluang menikmati diskaun RM50 dengan pembelian minimum RM120 apabila memasukkan kod promosi ‘AEON50HB’ bagi penebusan sebelum 1 Mac 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 12:00 PM