SITI MARIAM gembira kerana dapat memenuhi keperluan ibu bapa yang ingin mencari barangan bayi.
SITI MARIAM gembira kerana dapat memenuhi keperluan ibu bapa yang ingin mencari barangan bayi.
Siti Zarinah Sahib

Membuat persiapan menyambut ‘orang baru’ dalam keluarga sememangnya amat menyeronokkan. Apatah lagi sekiranya pasangan menyambut kelahiran bayi pertama yang tentunya amat dinanti-nantikan.

Membeli kelengkapan baru termasuk baju, lampin, barut, set tilam dan bantal menjadi antara keutamaan. Dengan pelbagai fesyen dan rekaan terkini membuatkan ibu seronok memilih padanan sedondon untuk si comel yang bukan sahaja pakaian, tetapi termasuk set tilam mereka.

Ramai ibu yang hanya mementingkan pemilihan pakaian untuk bayi sedangkan tempat tidur juga sama penting bagi memastikan si kecil dapat tidur nyenyak dan selesa.

Penyediaan tilam dan bantal berasaskan kekabu sesuai untuk bayi baru lahir kerana fungsinya yang lembut dan tidak menyebabkan tekanan pada si kecil. Tilam pula haruslah tidak terlalu nipis bagi mengelakkan ketidakselesaan ketika tidur atau terlalu tebal yang boleh membuatkan bayi terjatuh atau lemas seandainya tertiarap.

Menurut pemilik Decozerria Sara, Siti Mariam Shamsuddin, untuk kelengkapan bayi seperti tilam dan bantal, material berasaskan kapas dan kekabu sesuai digunakan kerana ia tidak panas, lembut dan memberikan ketenangan ketika tidur.

Di pasaran terdapat pelbagai jenis material seperti serat dan campuran kapas, namun ibu bapa harus bijak memilih agar produk digunakan tahan lama dan menyenangkan bayi.

“Reka bentuk juga memainkan peranan. Pilih tilam jenis rata supaya tidak membuatkan badan bayi membengkok ketika tidur mengiring atau terlentang. Ketebalan dan ukuran tilam juga harus diutamakan. Pastikan tilam tidak terlalu tebal atau nipis.

“Untuk bantal pula pilih yang lembut dan tidak terlalu tinggi. Bantal bersaiz kecil (bantal berbentuk karipap dengan lubang di tengah) sesuai untuk bayi baru lahir kerana ia tidak menyebabkan kepala bayi lebih tinggi daripada badan sekali gus mengurangkan kesakitan,” katanya yang turut menjual pelbagai jenis ukuran bantal bayi sama ada menerusi tempahan atau sedia digunakan yang dijual di butik barangan bayi terpilih.

Pada tahun lalu, tilam sarang bersama bantal dan bantal golek mendapat permintaan ramai. Ini disebabkan bentuknya yang comel, mudah dibawa ke mana-mana, rekaannya yang unik dan menarik menjadi tarikan. Tilam jenis ini juga menggunakan fabrik kapas dan kapas minky yang lebih lembut dan selesa. Ia juga boleh diubahsuai dengan melonggarkan talinya supaya menjadi rata.

“Saya memberikan kelainan dalam setiap rekaan terutama tilam dan bantal. Antaranya menggunakan warna terang dan interaktif, koleksi kartun popular seperti Mickey dan Minnie Mouse, Hello Kitty, Thomas & Friends dengan bentuk berbeza. Misalnya saya wujudkan bantal karipap yang mendapat permintaan ramai,” katanya yang dulunya bekerja sebagai pereka hiasan dalaman.

Bermula dengan menghasilkan barangan bayi untuk anak ketiga Sara Harleyna, yang kini berusia enam tahun, menurut Siti Mariam, dia cukup teruja melihat barangan comel anak perempuan yang penuh berwarna. Tambah pula penantian untuk mendapatkan anak perempuan selepas kelahiran dua cahaya mata lelaki sememangnya amat dinanti-nantikan.

Bermula dengan menghasilkan barut sendiri, lama-kelamaan Siti Mariam semakin berani menjahit tilam dan bantal. Semuanya dipelajari sendiri di rumah. Kemahiran ibu yang mengambil upah menjahit baju jadi turut mempengaruhi minat Siti Mariam.

“Selepas menghasilkan barut sendiri saya mula menjahit tilam dan bantal berwarna-warni untuk Sara. Saya membuat rujukan menerusi blog dan laman sosial luar negara kemudian disesuaikan dengan trend semasa. Lama-kelamaan ramai yang bertanya mengenai rekaan yang saya hasilkan dan saya mula bercadang menjadikannya lebih komersial.

“Tiada pengalaman dalam perniagaan membuatkan saya menggunakan kaedah konvensional untuk memasarkan produk iaitu dengan mengunjungi butik bayi di kawasan sekitar rumah. Saya tidak malu membawa bantal dan bertanya sama ada mereka berminat dengan produk saya. Alhamdulillah butik Tateh menerima bantal pertama saya,” katanya gembira.

Sedikit demi sedikit dia mula memuatnaik menerusi media sosial Facebook dan Instagram sehinggakan ramai membuat tempahan. Wanita ini percaya kelainan produk, kualiti ditampilkan serta mengikut fesyen terkini membuatkan koleksi Decozerria Sara mulai dikenali ramai.

BERHENTI KERJA KINI SEPENUH MASA

Berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang seni rekaan dalaman, ibu kepada lima cahaya mata ini mengakui dia bermula dari bawah. Selepas menamatkan pengajian di Institut Kemahiran Mara, Sungai Petani, dia menghasilkan rekaan untuk orang perseorangan dan juga syarikat. Namun segalanya berubah selepas dikurniakan cahaya mata.

“Saya mulai merasakan sedikit mencabar menjadi ibu bekerjaya. Masa sangat terhad, setiap hari terasa singkat. Akhirnya apabila dikurniakan tiga anak saya perlu mencari jalan keluar dengan bekerja sendiri.

Suami pula memberikan galakan untuk menceburi perniagaan kerana dia mahu saya bekerja dari rumah. Mengambil sempena nama anak Sara Harleyna saya menggunakan jenama Decozerria iaitu gabungan nama saya dan suami sebagai langkah pertama,” katanya yang menjadikan ruangan dapur sebagai tempat menjahit.

Peningkatan permintaan membuatkan Siti Mariam tidak mampu lagi mengambil tempahan seorang diri. Dia mengupah tiga pekerja yang berperanan sebagai tukang potong dan jahit serta membuat pengubahsuaian di rumah sebagai lokasi operasi kilang.

“Mulanya suami mahu menyewa kedai, tetapi bagi saya ia sama seperti bekerja di luar kerana terpaksa tinggalkan anak di rumah. Jadi suami mengubahsuai ruang parkir kereta untuk dijadikan bahagian operasi dan stor simpanan barang. Jadi saya boleh melakukan rekaan pada masa sama menjaga anak di rumah,” katanya.

Selain set tilam dan bantal, Decozerria Sara turut menghasilkan bantal menyusu, selimut, bantal berpasangan tertera nama dan kain buaian. Pada tahun ini dia ingin mencipta kelainan dengan menampilkan produk bersulam. Apa sahaja barangan bayi seperti bantal akan disulam indah nama si kecil. Bukan itu sahaja ibu bapa dan ahli keluarga lain juga boleh menempah dengan nama masing-masing.

“Selain menggunakannya sendiri, ia nampak lebih eksklusif dan boleh diberikan hadiah kepada pasangan. Produk tempahan juga diletakkan di dalam kotak khas bagi memudahkan pelanggan memberikannya sebagai cenderahati,” katanya yang turut mendapatkan pandangan pekerja untuk mendapatkan hasil terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 10:51 AM