HAFIZA (kiri) bersama si comel Wardah yang bijak bergaya. Ammara sering mengikut Sharifah Nabila yang gemar bergaya dan berdandan cantik.
HAFIZA (kiri) bersama si comel Wardah yang bijak bergaya. Ammara sering mengikut Sharifah Nabila yang gemar bergaya dan berdandan cantik.
AMMARA (kiri) bersama Wardah si cilik yang mempunyai peminat tersendiri.
AMMARA (kiri) bersama Wardah si cilik yang mempunyai peminat tersendiri.
Siti Zarinah Sahib

Di Barat khususnya negara Eropah ada kajian menunjukkan satu daripada lima ibu bapa akan memuat naik setiap aktiviti anak di media sosial sama ada dalam bentuk gambar atau video.

Keadaan ini amat jauh berbeza berbanding pada masa dulu, apabila anak cuma berada dalam lingkungan mereka tanpa didedahkan kepada orang ramai. Keghairahan ibu bapa moden hari ini mencipta budaya dan pemikiran berbeza dengan apa yang pernah dididik generasi sebelum ini turut menjadi penyumbang utama.

Kewujudan media sosial khususnya Facebook dan Instagram menyebabkan ramai menjadi semakin berani dan bersikap terbuka. Lihat saja seawal usia sehari anak sudah mempunyai akaun Instagram sendiri. Apabila meningkat usia mereka didedahkan dengan helaian glamor kemudian setiap gaya yang dicipta ibu bapa ini dikongsi, dipapar secara terbuka di media sosial.

Melalui perkongsian umum ini, si comel menjadi perhatian dan mencipta kelompok penggemar tersendiri. Contohnya anak selebriti yang ditonjolkan menerusi Instagram sangat berpengaruh. Apabila jumlah pengikut mencecah ratusan ribu, tidak hairanlah apa saja digayakan, menjadi ikutan sehingga menjadi medan perbalahan netizen yang bersetuju dan tidak.

Tanpa sedar hal ini menular kepada ramai ibu yang turut membuka akaun media sosial untuk anak mereka. Antara yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai adalah Nur Nabilla Ammara Muhammad Khalif, puteri kesayangan pengasas Bella Ammara, Syarifah Nabilla Al-Yahya Syed Sheh atau mesra disapa Belle.

Menurut Syarifah Nabilla, ketika mengandung tujuh bulan, dia sudah membuka Instagram untuk Nur Nabilla Ammara kerana ingin merakamkan detik manis pengalaman bergelar ibu. Antara yang dimuat naik adalah imbasan Ammara setiap kali menjalani pemeriksaan di hospital.

“Ia berlanjutan sehinggalah Ammara dilahirkan pada 16 Februari 2016 lalu. Mulanya saya hanya memuat naik gambar pertama Ammara di akaun peribadi saya. Pengikut saya mengikuti perkembangan Ammara dan dia mula mempunyai peminat sendiri,” katanya.

Jelasnya, sebagai ibu yang baru menerima kehadiran cahaya mata pertama keterujaan itu cukup terserlah. Jika boleh semua perkara mahu diabadikan untuk tatapan bersama.

Bagi wanita ini apa yang dikongsi bukan sekadar gambar sebaliknya wujud interaksi di antara pengikut Ammar yang berjumlah melebihi 70,000 dan kebanyakannya berstatus ibu. Menerusi perkongsian ini dia menerima banyak maklum balas positif daripada pengikut tegar mengenai cara penjagaan anak.

“Saya akui setiap kali gambar Ammara dimuat naik ada saja pandangan, pengalaman dan tidak kurang juga teguran diberikan. Saya mengambilnya sebagai sesuatu yang positif.

“Saya juga cuba mengelak untuk tidak terasa hati atau cepat melenting, sebaliknya berterima kasih kerana ramai yang prihatin kesihatan dan keselamatan Ammara. Jika ada kesalahan saya terima dan cuba memperbaikinya,” katanya yang seboleh-bolehnya tidak mahu Instagram Ammara dijadikan medan untuk saling bertelagah.

Tidak berasakan Ammara seperti selebriti jauh sekali dibandingkan dengan anak pelakon yang mempunyai ratusan ribu pengikut, jelas Syarifah Nabilla, tujuan asal kewujudan Instagram Nabilla Ammara adalah sebagai penyatuan hati untuk saling berkongsi kenangan terindah ketika membesarkan anak.

“Jika dulu ibu mempunyai album gambar tetapi kini laman sosial adalah albumnya. Bezanya ia bersifat interaktif iaitu perkongsian di antara dua pihak dan ada maklum balas mengenainya. Bukan hendak menunjuk-nunjuk kerana apa yang dipaparkan adalah lebih bersifat diari dan perkongsian aktiviti sahaja,” katanya.

Katanya lagi, selain merindui wajah comel Ammara, keakraban pengikutnya dapat dilihat apabila setiap kali gambar dimuat naik ada saja yang bertanya mengenai produk digunakan, kesesuaiannya, jenama pakaian seterusnya meminta pendapat sebagai pengguna. Instagram anaknya menjadi medan untuk peminat Ammara bertukar pendapat.

“Saya akur sebagai ibu muda masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Menerusi perkongsian ini saya dapat mencari ilmu keibubapaan. Ada juga memberikan produk mereka terutama berkaitan bayi untuk direviu. Ia tidak menjadi masalah sekiranya bagus saya berikan maklum balas positif,” katanya.

Syarifah Nabilla menyifatkan perkembangan Ammara yang berusia setahun 10 bulan adalah sangat cepat. Seakan-akan baru saja bayi seberat 2.6 kilogram ketika dilahirkan itu dipangku dan dicium, kini Ammara sudah aktif berjalan dan petah berkata-kata. Malah dia gemar mengikut jejak langkah ibunya yang suka bersolek.

“Kadang-kadang saya perlu menghadiri penggambaran dan didandan jurusolek. Apabila melihat saya memakai bedak atau gincu dia turut inginkan perkara yang sama. Dia juga suka bergaya, malah tahu memadankan aksesori dengan baju manakala cermin mata hitam tidak pernah lekang di wajah setiap kali keluar.

“Memang Ammara suka bergaya. Mungkin kerana dia sering memerhatikan apa yang saya lakukan setiap hari. Berdandan cantik sebelum keluar rumah,” katanya yang ingin menghantar Ammara ke sekolah pada usia empat tahun.

‘Lali’ dengan lensa kamera juga mesra paparan video, setiap kali ibu dan bapanya ingin merakamkan gambarnya, Ammara lantas memberikan aksi menghiburkan, mungkin kerana sudah didedahkan sejak bayi.

Sebagai usahawan Syarifah Nabilla sering menghadiri pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan fesyen dan penggambaran. Ada kala dia terpaksa membawa Ammara bersama. Mujur anaknya itu mudah mesra, tidak banyak ragam atau kekok berhadapan orang awam. Si cilik ini turut ada peminat tersendiri menyebabkan ramai mengenali dan menegurnya.

Walaupun sering mendedahkan aktivitinya di Instagram, usahawan muda ini sangat berhati-hati dalam soal keselamatan anaknya. Inilah sebabnya dia tidak pernah menyertakan lokasi di mana dia berada setiap kali memuat naik gambar atau video.

“Ammara mempunyai rutin harian berbeza dan aktiviti yang berlaku seharian bukan dimuatnaik secara langsung. Saya juga sering membawa suami bersama jadi kami berdua sentiasa memastikan Ammara berada dalam keadaan selamat,” katanya yang memuat naik gambar Ammara dua atau tiga hari sekali.

WARDAH LEBIH DIKENALI BERBANDING IBU

Padanan jaket dan skirt kembang membuatkan Wardah Noor Tamizee cukup bergaya. Sebaik lagu Baby Shark dimainkan ketika penggambaran di Studio Balai Berita NSTP, dia lincah menari. Tangannya melambai-lambai sambil mulut bergerak-gerak seakan mengikut lirik lagu. Siapa yang tidak teruja melihat keletah yang manja dan bijak ini.

Bagi yang baru mengenali buah hati pengasas Minaz, Hafiza Abd Hamid, si kecil ini bukan saja glamor di media sosial sebaliknya dinanti-nantikan kehadirannya dalam pelbagai acara membabitkan jenama ini.

“Sejak berusia tiga bulan saya membawa Wardah ke mana saja, sama ada membabitkan hal kerja seperti pertunjukan fesyen, penggambaran atau melancong ke luar negara kerana dia menyusu badan.

“Setiap kali hadir dalam sesuatu majlis memang Wardah jadi tumpuan. Ada yang ingin memegang, mendukung atau menciumnya. Namun demi keselamatan Wardah sebolehnya saya cuba elakkan sekiranya orang itu tidak dikenali,” katanya yang sering membawa suami bersama bagi memudahkan mereka berdua memantau keselamatan Wardah.

Mengambil nama Wardah, bersempena watak drama bersiri popular Suri Hati Mr Pilot lakonan Fattah Amin dan Neelofa, bagi Hafiza ia juga menjadi penyebab mengapa anaknya begitu dikenali oleh peminat tegar drama bersiri itu terutama mereka yang bergelar ibu.

“Ketika mengandung anak ketiga memang saya kerap menonton drama bersiri itu. Lama-kelamaan hati bagai terpaut dengan nama Wardah kerana ia bermaksud mawar dalam bahasa Arab,” jelasnya.

Jelas Hafiza, sebelum membuka akaun Instagram untuk Wardah, semua aktiviti dimuat naik menerusi akaun peribadinya. Setiap hari pengikut Hafiza bertambah disebabkan Wardah. Lama-kelamaan dia terpaksa membuka akaun khas untuk Wardah pada usianya empat bulan.

Sejak memiliki akaun sendiri Wardah mula menjadi tumpuan. Tambah pula dia ibarat model cilik yang memperagakan koleksi Minaz. Setiap kali wajah dimuat naik pasti menerima ribuan ‘likes’

Menariknya sekiranya tiada gambar atau berita di media sosial pasti peminat menghantar mesej bertanyakan keadaan Wardah. Apatah lagi Hafiza sering membawa anak ketiganya ini ke mana saja dia pergi menyebabkan ramai mengenalinya.

Dilahirkan pada 26 Oktober 2016, sebagai ibu Hafiza tidak melatah sekiranya ada pengikut memberikan teguran mengenai cara didikannya sebaliknya menerima dengan hati terbuka. Sebolehnya dia tidak mahu berlaku perselisihan pendapat di media sosial walaupun masing-masing ada cara tersendiri dalam mendidik anak.

“Saya cuba menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Namun untuk keselamatan memang saya sangat berhati-hati kerana memikirkan ada golongan tertentu yang menggunakan gambar kanak-kanak untuk imaginasi seksual mereka. Sebab itu gambar Wardah yang dimuat naik saya pastikan alam keadaan baik dan sopan,” katanya.

Sebagai usahawan dan juga pereka untuk semua koleksi Minaz, kehadiran Wardah membuatkan Hafiza mengeluarkan koleksi pakaian kanak-kanak. Malah Wardah diambil sebagai duta raya 2017 dan dia juga menjadi model untuk setiap koleksi pakaian menerusi Instagram.

Bukan itu saja di atas populariti yang dimiliki si comel ini, Hafiza menerima pelawaan untuk bekerjasama mengeluarkan produk kesihatan bayi dan kanak-kanak di bawah Wardaa Beauty & Health membabitkan rangkaian makanan tambahan, mandian, minyak bayi dan penggalak susu ibu.

“Ia sesuatu yang cukup positif dan saya bersyukur di atas rezeki yang diberikan ini. Secara tidak langsung ia memberikan keyakinan untuk menjadikan jenama Wardaa sebagai pilihan ibu lantaran kualiti yang ada padanya,” katanya yang menyifatkan Wardah anugerah Allah yang tidak ternilai.

TIP KESELAMATAN ANAK DI MEDIA SOSIAL

1. Hadkan privasi

Elak berkongsi lokasi bagi mengelakkan hal yang tidak diingini. Anda boleh mengawal tetapan di setiap akaun media sosial. Pilihan ada di tangan ibu bapa sama ada mahu berkongsi atau sebaliknya.

2. Buat tetapan privasi

Jika tidak mahu berkongsi gambar atau aktiviti anak, anda boleh menetapkan akaun sebagai privasi. Melalui cara ini anda boleh mengawal siapa yang mengikut akaun media sosial. Tidak perlu berkongsi dengan semua orang sekalipun anak anda sudah bergelar selebriti kecil.

3. Periksa gambar sebelum memuat naik

Sebelum memuat naik setiap gambar anda harus menapisnya terlebih dahulu. Fikirkan baik buruk sekiranya gambar atau video dimuat naik.

4 . Maklum balas pembaca

Menjadi anak popular di media sosial sememangnya berisiko. Namun sudah tentu akan ada yang tidak senang dan menyumbang komen negatif. Elak memberikan respon kerana anda mempunyai pilihan untuk menutup ruang komen.

5 . Jaga ruang anak

Memang benar anak kecil tidak faham apa yang terjadi pada mereka. Sebagai ibu bapa anda harus ingat mereka juga perlukan privasi sendiri. Ini kerana gambar yang dimuat naik itu akan mereka lihat apabila besar nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 1:59 AM