DARI kiri Hema, Dr Mohd Nor, Farahani, Alfonso dan Michelle pada majlis berkenaan.
DARI kiri Hema, Dr Mohd Nor, Farahani, Alfonso dan Michelle pada majlis berkenaan.
Hajahfarhana Tarmudi


Pengguna masa kini semakin bijak dalam memilih produk yang diinginkan tidak kira membabitkan makanan ataupun aspek penjagaan badan dan muka.

Biarpun hanya memilih produk penjagaan luaran badan, tidak dinafikan lebih ramai yang suka mencari label yang memiliki sijil halal kerana lebih yakin untuk digunakan.

Bagi memenuhi keperluan dan kepercayaan penggunanya, Jenama Milikan Guardian sentiasa menampilkan produk berkualiti, diuji serta dibuktikan secara dermatologi.

Malah, dengan bangganya jenama itu mengumumkan majoriti produk keluarannya kini mendapat pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan selebihnya, masih di pelbagai peringkat proses pengesahan bagi mendapatkan sijil berkenaan.

Menurut Pengarah Jenama Milikan Guardian Health and Beauty Sdn Bhd, Alfonso Roderos, produk Jenama Milikan Guardian dihasilkan menepati setiap piawaian kualiti sejak dulu lagi.

“Pensijilan dari JAKIM untuk rangkaian produk terpilih ini adalah satu peningkatan kepada tahap jaminan untuk pengguna. Produk yang disahkan halal itu diterima baik oleh umat Islam dan bukan Islam kerana mereka mempunyai keyakinan dalam jaminan kualiti.

“Bagi jaringan meluas produk, pensijilan halal ini menambah satu lagi lapisan kepada keyakinan dan kepercayaan pengguna terhadap produk kami.

“Ia membolehkan pengguna Islam mendapat akses kepada lebih banyak jenis produk halal apatah lagi kebanyakannya diuji serta dibuktikan secara dermatologi dan boleh dimiliki pada harga yang berpatutan,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Kerajaan Guardian, Farahani Failul Rahman; Pengurus Jualan dan Pemasaran Guardian, Hema Malani dan Pengurus Produk Kumpulan Kesihatan dan Label Persendirian Guardian, Michelle Yeap.

Pensyarah Akademi Pengajian Kontemporari Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat berkata, pensijilan halal JAKIM dikenali di seluruh dunia mempunyai prosedur yang paling ketat.

“Justeru, produk peribadi ini akan mudah diterima di negara yang mempunyai jumlah populasi umat Islam yang besar. Langkah ini akan membuka pasaran yang lebih besar kepada jenama berkenaan dan memberikan pengguna Islam banyak pilihan.

“Kesanggupan untuk mematuhi syarat halal di setiap peringkat proses perkilangan mereka akan memberikan umat Islam dan bukan Islam jaminan bahawa jenama ini menghormati kepercayaan pengguna.

“Ia amat menyentuh hati melihat peruncit besar seperti Guardian melaksanakan satu tindakan berskala besar untuk mendapatkan pensijilan halal bagi produknya,” katanya.

Kesemua garis panduan itu direka cipta bagi memastikan ketenangan fikiran dan keyakinan pengguna terhadap kebersihan serta kesucian produk berkenaan.

Pensijilan halal itu bertujuan memastikan semua piawaian ketat berkenaan dipatuhi di setiap peringkat pencarian dan pembelian bahan mentah, pembuatan, pengisian pergudangan dan logistik di kilang bagi memastikan kesucian serta kebersihan semua produk yang dihasilkan menepati syariah Islam.

Sehubungan itu, jenama berkenaan kini dalam proses menghasilkan pembungkusan baru yang memaparkan logo halal JAKIM dengan jelas pada semua pek produknya yang menerima sijil halal.

Antara produk yang sudah disahkan halal oleh JAKIM adalah gel mandian, gel mandian bayi, losen bayi, cecair pembersih wanita dan vitamin jenis ‘gummies’ untuk kanak-kanak. Bagi mendapatkan senarai produk yang disahkan halal, boleh layari www.halal.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:28 PM