SYED Anwar menyampaikan sumbangan kepada Ibrahim di Pejabat Korporat MAHB di Sepang.
SYED Anwar menyampaikan sumbangan kepada Ibrahim di Pejabat Korporat MAHB di Sepang.
HM Digital

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menghulurkan sumbangan hampir RM100,000 kepada komuniti sekitar lapangan terbang bawah kendaliannya sebagai simbolik sambutan serentak ulang tahun ke-25 perbadanan syarikat itu.

Sambutan serentak itu antara program dijalankan sepanjang tahun, khusus untuk menghargai komuniti setempat dan warga kerja MAHB yang menjadi tunjang utama setiap kejayaan dikecapi.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Nik Anis Nik Zakaria berkata, pada sambutan berkenaan, warga kerja dirai dalam satu majlis Pesta Buah-buahan, sementara sumbangan kepada penerima bantuan masing-masing disempurnakan Pengerusi MAHB, YAM Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Pejabat Korporat MAHB di Sepang dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali di Lapangan Terbang Sandakan.

“Setiap lapangan terbang dikunjungi barisan pengurusan tertinggi syarikat. Kami mengambil peluang menyalurkan sumbangan kepada komuniti di sekitar lapangan terbang sebagai salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat.

“Sebanyak RM40,670 disampaikan kepada Ibrahim Jumaat, salah seorang penduduk Kampung Labu Lanjut bagi menampung kos perbelanjaan memperbaiki rumahnya yang uzur dan menambah baik saliran sekitar kediaman bagi mengelak risiko banjir kilat ketika hujan lebat.

“Manakala sumbangan sebanyak RM57,500 pula disalurkan kepada komuniti sekitar Lapangan Terbang Sandakan membabitkan 23 rumah mangsa kebakaran di Kampung Sim Sim. Setiap rumah menerima RM2,500 bagi membantu meringankan beban kemusnahan kediaman akibat kebakaran pada 29 September yang lalu,” katanya.

Sumbangan berkenaan diharap dapat membina komuniti yang ceria bukan sahaja di lapangan terbang tetapi termasuk kawasan sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 9:52 AM