ANTARA kucing comel yang menarik perhatian ramai.
ANTARA kucing comel yang menarik perhatian ramai.
Siti Zarinah Sahib

Ketika hamil anak pertama, Nur Syafira Mohd Ramli, 27, ‘mengidam’ memelihara seekor kucing di rumah. Tidak sampai hati menolak permintaan isterinya membuatkan suami, Mohd Muzri Ramli, 36, membelikan anak kucing daripada baka Scottish untuk Nur Syafira.

Teruja saat melihat anak kucing comel ini berlari-lari di rumah, jinak dan mudah diuruskan membuatkan dia berazam menambah kucing peliharaannya selepas melahirkan anak. Daripada seekor baka Scottish ia membiak menjadi tiga, kemudian ditambah dengan jenis kucing yang dibeli suami membuatkan Nur Syafira mempunyai 10 kucing semuanya.

“Oleh kerana sering memuat naik gambar kucing peliharaan di media sosial, ramai bertanya dan ingin melihat sendiri di rumah. Saya juga tiada masalah dan membenarkan rakan dan keluarga terdekat datang bermain-main dengan kucing. Lama-kelamaan timbul idea untuk membuka studio kucing untuk orang ramai,” katanya.

Selepas mendapatkan lokasi sesuai iaitu di Seksyen 8 bandar Baru Bangi,

Nur Syafira dan suami membeli beberapa kucing daripada baka berbeza. Antaranya kucing terbesar di Malaysia daripada baka Maine Coon berharga RM12,000, Russian Blue, Parsi, Bombay, Munch­kin dan Selkirk Rex yang sukar dijaga kerana bulunya yang lembut dan berpintal.

NUR SYAFIRA memangku kucing jenis Maine Coon yang terdapat di Catsignature Studio & Cafe.
NUR SYAFIRA memangku kucing jenis Maine Coon yang terdapat di Catsignature Studio & Cafe.

Semua kucing ini dibeli dari Russia dan Ukraine kerana mudah diperoleh dan harganya tidak mahal. Sejumlah 35 kucing ditempatkan di Catsignature Cafe & Studio di tingkat dua manakala 45 ekor lagi diletakkan di tingkat tiga menjadikan 80 kucing semuanya. Tingkat satu pula menempatkan kafe yang menyediakan hidangan tengah hari berkonsepkan makanan Thailand.

Jelas Nur Syafira, pemilihan konsep makanan Thai kerana dia ingin memberikan kelainan kepada pelanggan. Ini kerana selama ini kebanyakan pelanggan merasakan kafe sinonim dengan makanan Barat.

“Apabila suami meminta idea untuk konsep hidangan yang akan diketengahkan, saya terus terfikir menyediakan hidangan Siam seperti tomyam serta pelbagai jenis mi. Memang tarikan kepada makanan yang enak dan lazat pada harga berpatutan bermula RM6.90,” katanya yang menyediakan hampir 25 jenis menu pada satu masa.

Pada masa akan datang dia turut bercadang menyediakan makanan menerusi trak makanan yang akan dibawa ke beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur. Mung­kin dengan cara ini selain memperkenalkan makanan istimewa Catsignature Studio & Cafe, ia turut memberikan promosi secara tidak langsung mengenai studio kucing.

Penjagaan kucing perlu teliti

Nur Syafira yang mula mendapatkan maklumat dan tip penjagaan kucing menerusi buku, Internet dan pakar veterinar mengakui, menjaga kucing baka luar negara sememangnya memerlukan ketelitian terutama aspek kebersihan. Ini kerana kucing ini berbeza jenis bulu, ada yang panjang, pendek, lebat dan berpintal.

“Ada pula jenis kucing yang bulunya mudah gugur sekiranya tidak dijaga sepenuhnya. Pasir untuk pembuangan najis perlu ditukar setiap hari bagi mengelak bau yang kurang menyenangkan. Kucing juga perlu dimandikan sama ada sekali atau dua kali seminggu bergantung kepada jenis baka. Berbeza jenis kucing berbulu panjang, ia sedikit sukar dijaga kerana lebih sensitif,” katanya.

Setiap minggu pegawai veterinar akan datang melawat dan memeriksa tahap kesihatan setiap kucing. Ini bagi memastikan kucing di situ bebas daripada demam selesema. Kakitangan kafe turut dilatih bagi proses memberikan ubat-ubatan.

“Ini bagi memastikan mereka tahu mengendalikan haiwan comel ini tanpa kehadiran veterinar. Setakat ini semua staf tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya yang mempunyai 10 staf bertugas mengikut keperluan masing-masing.

Mereka memberikan makanan kucing setiap hari sama ada jenis basah dan kering dengan kos sekitar RM5,000 sebulan termasuk ubat-ubatan dan pasir.

Kafe yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat ini menyediakan tiket berharga RM10 bagi dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas. Pengunjung bebas bermain-main dengan kucing selama 45 minit dengan syarat tidak mencederakan atau membuatkan haiwan ini bertindak liar.

Ujar Nur Syafira, sepanjang mengendalikan kafe ini sejak awal Januari lalu, cabarannya sudah tentu kepada golongan kanak-kanak yang mungkin bertindak di luar kawalan apabila berhadapan dengan haiwan peliharaan comel ini.

“Namun, kakitangan akan sentiasa ada bersama bagi memantau keadaan kucing agar berada dalam situasi selesa. Bagi kucing yang tidak sihat, sakit atau demam akan ditempatkan di bahagian lain. Setakat ini tiada perkara buruk berlaku kerana kebanyakan pelanggan memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya.

RUANG yang selesa  di tingkat bawah membolehkan pelanggan menikmati makanan enak cita rasa masakan Thailand.
RUANG yang selesa di tingkat bawah membolehkan pelanggan menikmati makanan enak cita rasa masakan Thailand.

Kebanyakan pengunjung juga mengakui mereka datang ke sini kerana ingin melepaskan tekanan selepas penat bekerja. Ada antaranya peminat kucing tegar dan menganggap haiwan yang berada di sini seperti binatang peliharaan mereka sendiri. Justeru, mereka boleh meluangkan masa selama berjam-jam hanya semata-mata meluahkan rasa sayang terhadap kumpulan kucing comel ini.

“Berdasarkan pengalaman sendiri ketika memelihara kucing di rumah, kucing memberikan terapi ketenangan tersendiri. Melihat wajah comel, pergerakan lincah dan bau yang terdapat pada bulu haiwan ini membuatkan seseorang itu mampu melupakan seketika masalah mereka,” katanya yang berhasrat ingin menambah beberapa baka kucing yang kurang dikenali.

Selain menjadi tempat lawatan dan kunjungan pelanggan, Nur Syafira turut membawa kucingnya menyertai pertandingan atau pertunjukan yang diadakan di sekitar Lembah Klang. Penyertaan ini juga cuma sekadar suka-suka bagi memberikan pengalaman kepadanya. Ia bukan semata-mata untuk kemenangan, sebaliknya ingin menambah pengetahuan mengenai penjagaan kucing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 2:48 PM