WAKIL kanak-kanak dari empat rumah perlindungan menerima tajaan kasut
WAKIL kanak-kanak dari empat rumah perlindungan menerima tajaan kasut
Intan Mas Ayu Shahimi


Meraikan sambutan ulang tahun ke-15, jenama kasut kasual inovatif Crocs menghadiahkan sepasang sepatu Clog klasik kepada lebih 100 kanak-kanak kurang bernasib baik dari empat rumah perlindungan sekitar Lembah Klang.

Pemberian itu sebahagian daripada misi Crocs untuk menyumbang kembali kepada komuniti tempatan, sekali gus menjadi tanda penghargaan atas sokongan ramai terhadap jenama berkenaan.

Tahun ini, Crocs berhasrat menampilkan kelainan menerusi sumbangan derma kepada golongan yang memerlukan di seluruh dunia. Untuk itu, jenama berkenaan menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi tempatan di seluruh dunia bagi mengenal pasti dan menyelaraskan sumbangan derma kasut.

Di Malaysia, Crocs bekerjasama dengan empat rumah perlindungan komuniti iaitu Rumah Charis, Rumah Harapan, Rumah Kanak-Kanak Impian dan Rumah Ozanam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pinang Medical Supplies (PMS) Sdn Bhd Teh Teong Ei, usaha menyumbang kembali kepada masyarakat adalah sebahagian daripada budaya dan nilai murni yang dititikberatkan jenama berkenaan.

“Kami berbesar hati untuk menjayakan program sumbangan ini kerana ia adalah satu lagi contoh komitmen Crocs dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka yang memerlukan.

“Sebagai pengedar rasmi Crocs di Malaysia, kempen amal ini memberi peluang kepada kami untuk menyebarkan lebih kegembiraan kepada kanak-kanak, sekali gus membuka ruang kepada mereka menikmati gaya versatil dengan keselesaan maksimum,” katanya.

Menurut Teh, awal tahun ini, jenama itu menyeru pembabitan pengguna seluruh dunia untuk berkongsi identiti menerusi menerusi kempen Come As You Are.

SEBAHAGIAN kanak-kanak daripada rumah perlindungan memilih rona kasut kesukaan.
SEBAHAGIAN kanak-kanak daripada rumah perlindungan memilih rona kasut kesukaan.

“Kempen pemasaran global itu memberi tumpuan kepada teras jenama, rangkaian gaya clog dan sandal, serta menggalakkan orang ramai untuk meraikan keunikan diri. Ia umpama cerminan kepada jenama Crocs yang tidak pernah lari daripada identitinya, sentiasa optimis, versatil, selesa dan berani mencuba sesuatu yang baharu serta konvensional sepanjang 15 tahun ini.

“Kami berharap, dengan rangkaian sepatu hebat kami, kempen ini dapat memberi lebih keselesaan kepada pemakai, khususnya kanak-kanak istimewa daripada empat rumah berkenaan,” katanya.

Tuah ditaja

Dalam pada itu, Koordinator Rumah Charis, Jackson Pau berkata, pihaknya teruja dan berasa bertuah kerana mendapat tajaan sepatu berjenama yang cukup selesa dan berkualiti daripada Crocs.

“Ini adalah pengalaman pertama anak-anak menerima kasut daripada jenama sehebat Crocs. Selalunya, kami hanya membelikan mereka selipar biasa di kedai atau di pasar malam kerana tidak mampu.

“Sekurang-kurangnya, kasut ini lebih tahan lama berbanding sandal biasa. Jadi, tak ada lagi masalah untuk membawa anak-anak ini memenuhi jemputan majlis dan mereka juga boleh memakai kasut sama untuk keluar berjalan de­ngan lebih selesa,” katanya.

Kata Jackson, lumrah kanak-kanak menyimpan pelbagai impian termasuk mempunyai sepasang kasut mewah dan selesa seperti Crocs.

“Saya percaya anak-anak di rumah tentu teruja sebaik menyarung kasut ini. Pastinya mereka gembira dapat memiliki barang mewah sebagaimana ramai kanak-kanak lain di luar sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 9:34 AM