DAPATKAN vaksin untuk cegah penyakit.
DAPATKAN vaksin untuk cegah penyakit.
LINDUNGI diri daripada orang sakit ketika di Tanah Suci.
LINDUNGI diri daripada orang sakit ketika di Tanah Suci.
DARI kiri Dr Abdul Razak, Dr Zulkifli, Dr Jeffrey dan Ramil pada majlis perasmian kempen berkenaan.
DARI kiri Dr Abdul Razak, Dr Zulkifli, Dr Jeffrey dan Ramil pada majlis perasmian kempen berkenaan.
Hajahfarhana Tarmudi


Musim haji sudah tiba dan tentu banyak persediaan yang perlu dilakukan oleh jemaah yang berpeluang ke Makkah tahun ini. Seramai lebih 30,000 orang rakyat Malaysia dijangka menunaikan ibadat haji tahun ini.

Malangnya, kesesakan dengan jutaan jemaah dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko mereka mendapat jangkitan yang boleh membawa maut seperti wabak penyakit meningokokus invasif (IMD).

Bukan hanya persediaan mental, fizikal, rohani dan keperluan, malah setiap jemaah haji juga diwajibkan mengambil vaksin meningokokus kuadrivalen sebagai syarat mendapatkan visa sejak 2001 lagi.

Mungkin ada yang tahu tapi tidak ketinggalan juga segelintir daripada kita mempersoalkan mengenai kepentingan pengambilan vaksin yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji dan umrah.

Ia susulan wabak penyakit meningokokus, pembawa maut di 16 negara seluruh dunia 17 tahun lalu (pada tahun 2000). Wabak berkenaan membabitkan jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing dan individu berdekatan mereka yang dijangkiti.

Bahaya meningokokus

Berada di kawasan yang padat dengan manusia dalam tempoh lama semasa haji dan umrah boleh menyebabkan bakteria meningokokus mudah merebak.

Jemaah yang terdedah kepada bakteria ini boleh mendapat penyakit atau menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain termasuk ahli keluarga apabila pulang ke tanah air.

Perunding kanan respiratori dan bekas Ketua Pasukan Perubatan Tabung Haji, Datuk Profesor Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, kira-kira 135,000 kematian di seluruh dunia mempunyai kaitan dengan penyakit meningokokus invasif setiap tahun.

“Penyakit ini berlaku disebabkan jangkitan bakteria Neisseria meningitidis. Ia boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti meningitis dan septisemia.

“Meningitis adalah satu bentuk jangkitan serius ke atas meninges iaitu membran yang menyelaputi otak dan saraf tunjang. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kerosakan otak yang teruk dan kematian bagi 50 peratus kes.

“Malah, ia juga boleh menyebabkan kecacatan kekal pada otak dan saraf. Malah pesakit mungkin menjadi pekak. Selain itu, bakteria itu juga boleh mengakibatkan masalah sepsis (jangkitan kuman dalam darah) yang juga boleh menyebabkan kecacatan kekal atau kehilangan anggota badan, kerosakan organ serta perut yang teruk jika dibiarkan tanpa rawatan.

“Malah, bakteria ini juga boleh menyebabkan pneumonia (radang paru-paru) dan jangkitan lain kepada pesakit. Oleh itu, pengambilan vaksin ini sangat penting bukan saja memberi kesihatan sebelum mengerjakan haji tetapi selepas pulang ke tanah air,” katanya.

Ujarnya, penyakit berkenaan boleh membunuh dalam masa 24 jam selepas simptom awal dikesan, ini menjelaskan langkah pencegahan sangat penting diambil setiap jemaah.

Namun, sekiranya seseorang sudah dijangkiti penyakit berkenaan, penting untuk pesakit dan ahli keluarga mengetahui tanda-tandanya agar dapat bertindak lebih awal.

Antara simptom meningitis meningokokus adalah demam panas, sakit kepala, loya atau muntah, fotobia (sensitif terhadap cahaya) dan meracau.

Bagi simptom septisemia meningokokus pula adalah demam panas, sentiasa letih, loya atau muntah, sakit badan, cirit-birit dan ruam berwarna ungu (tidak hilang jika ditekan).

Pilihan vaksin

Di negara yang mempunyai masalah penyakit endemik yang tinggi, ia boleh menjadi beban serius kepada sistem kesihatan awam. Jelasnya, vaksinasi adalah cara yang berkesan untuk membantu mencegah penyakit meningokokus.

Jemaah haji mempunyai dua pilihan vaksin iaitu meningokokus polisakarida dan meningokokus konjugatiii. Vaksin meningokokus polisakarida dihasilkan melalui polisakarida (molekul gula) daripada permukaan bakteria meningokokus.

Tindak balas antibodi ke atas vaksin polisakarida bergantung kepada usia. Walaupun vaksin ini dilaporkan sangat berkesan ke atas golongan dewasa, ia memberi perlindungan yang amat sedikit atau jangka pendek untuk bayi serta kanak-kanak prasekolah.

“Bagi vaksin meningokokus konjugat pula, polisakarida digabungkan secara kimia (berkonjugat) dengan protein yang mengubah aspek imunologi dan meningkatkan keupayaan untuk memangkin tindak balas imun di dalam badan.

“Vaksin konjugat efektif untuk orang dewasa serta berkesan melindungi kanak-kanak kerana ia menawarkan tindak balas imun yang lebih tinggi dan mapan.

“Kelebihan unik vaksin konjugat ialah ia mampu mengurangkan pembawaan bakteria di dalam hidung dan tekak sekali gus melindungi jemaah yang menerima vaksin serta keluarga terdekat,” katanya pada pelancaran kempen ‘Bawa Pulang Barakah, Elak Mudharat’.

Hadir sama pada majlis pelancaran kempen berkenaan, Naib Presiden dan Pengurus Besar GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd Malaysia (GSK) Ramil Burden dan Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Dr Jeffrey Abu Hassan.

Tambah ilmu meningokokus

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life (IFL) Datuk Professor Dr Zulkifli Ismail, IMD boleh berjangkit daripada individu kepada individu lain menerusi titisan cecair daripada saluran pernafasan yang keluar semasa batuk, selesema atau bersin terutama ketika berada dalam jarak yang dekat.

“Ia mengakibatkan kadar kematian sekitar 10 hingga 15 peratus dalam kalangan mereka yang terkena jangkitannya. Dalam kalangan pesakit yang sembuh pula, ramai yang mengalami kecacatan kekal seperti hilang anggota badan, pekak, masalah pada sistem saraf atau kerosakan otak.

“Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah haji supaya mendapatkan vaksin untuk mencegah IMD, namun penting bagi kita memahami mengapa langkah ini perlu diambil.

“Rata-rata jemaah Malaysia mengambil vaksin sekadar untuk melengkapkan syarat mendapatkan visa dan tidak tahu kepentingan pengambilan vaksin berkenaan ataupun jenis vaksin yang diambil.

“Disebabkan itulah program Immunise4Life yang mendapat kerjasama daripada IMAM dan GlaxoSmithKline (GSK) Pharmaceutical Sdn Bhd Malaysia melancarkan kempen ini,” katanya.

Program berkenaan dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan imunisasi untuk setiap golongan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

Program itu dilancarkan pada tahun 2013 dan sejak itu pelbagai usaha dan aktiviti yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan imunisasi untuk kanak-kanak serta orang dewasa.

Ini kerana ramai orang dewasa tidak menyedari mereka juga memerlukan imunisasi terutamanya golongan berisiko tinggi. Kempen berkenaan akan disampaikan menerusi pelbagai bentuk platform pendidikan termasuk video dalam talian, risalah informatif, poster klinik dan di media sosial, www.facebook.com/immunise4life.

Simptom penyakit meningokokus:

1. Meningitis meningokokus

• Demam pada suhu tinggi.

• Sakit kepala.

• Loya atau muntah.

• Fotobia (sensitif terhadap cahaya).

• Meracau.

2. Septisemia meningokokus

• Demam pada suhu tinggi.

• Sentiasa letih.

• Loya atau muntah.

• Sakit-sakit badan.

• Cirit-birit.

• Ruam berwarna ungu (tidak hilang jika ditekan).

Langkah pencegahan jangkitan meningokokus.

1. Sebelum berada di tanah suci Makkah

• Dapatkan vaksinasi meningokokus.

2. Ketika di tanah suci Makkah

• Jaga kebersihan diri.

• Lindungi diri daripada orang yang sakit.

• Rehat secukupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 2:35 PM