APLIKASI membantu ibu bapa mencari maklumat mengenai imunisasi bayi dan kanak-kanak.
APLIKASI membantu ibu bapa mencari maklumat mengenai imunisasi bayi dan kanak-kanak.
Zaitie Satibi


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru usaha pemberian vaksin dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia dipertingkatkan semula supaya program pemberian imunisasi kembali menepati sasaran untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa yang terkorban disebabkan kegagalan memberi vaksin.

Antara penyakit yang boleh dicegah menerusi pemberian vaksin ialah haemophilus influenzae jenis b (Hib) yang menyebabkan meningitis dan pneumonia, hepatitis B yang menyerang hati, human papillomavirus (HPV) (penyebab kanser serviks dan jangkitan seks), demam campak (menyebabkan buta dan encefalitis), meningitis A (jangkitan pada otak), beguk, pneumokokal, polio, rotavirus yang menyebabkan cirit-birit, rubella, kancing gigi dan demam kuning.

Banyak usaha perlu dilakukan supaya pemvaksinan dapat diluaskan termasuk mencari jalan bagi memudahkan prosedur vaksinasi di lapangan, menambah baik pemberian vaksin kepada setiap kanak-kanak terutama yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak boleh diakses; memastikan vaksin mampu dibeli; melatih lebih ramai pekerja kesihatan dan meningkatkan kesedaran masyarakat serta permintaan untuk imunisasi.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan kesedaran awam khususnya ibu bapa mendapatkan vaksin untuk anak, Immunise4Life membangunkan aplikasi MYVaksinBaby untuk telefon pintar iaitu inisiatif pendidikan masyarakat yang dipacu oleh pakar di Malaysia dalam mempromosikan imunisasi di setiap peringkat umur terhadap penyakit cegahan vaksin yang boleh mengancam nyawa si kecil.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, aplikasi itu yang dicipta oleh pakar adalah sumber maklumat tepat dan boleh dipercayai. Ia memaparkan bahaya penyakit cegahan vaksin dan menyenaraikan semua vaksin yang disarankan untuk anak di bawah Program Imunisasi Kebangsaan termasuk vaksin tambahan yang terdapat di klinik dan hospital swasta.

Menurutnya, bagi ibu bapa yang sibuk, aplikasi mudah alih MYVaksinBaby yang baru ini adalah penyelamat sebenar kerana dilengkapi pelbagai kemudahan apabila mereka boleh memantau jadual imunisasi bayi dengan pantas.

Aplikasi berkenaan dibangunkan seiring trend terkini memandangkan ramai orang lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar. Oleh itu aplikasi ini adalah cara terbaik untuk mendapatkan maklumat dan peringatan dalam satu masa.

“Sebagai pakar kanak-kanak, saya merawat ramai pesakit kecil yang menghidap pelbagai penyakit. Memang malang apabila anak jatuh sakit, tetapi adalah lebih teruk jika mereka menghidap penyakit yang sepatutnya boleh dielakkan, contohnya melalui vaksinasi.

“Walau sesibuk mana pun ibu bapa, satu perkara yang mereka tidak boleh lupa adalah vaksin untuk anak. Bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun, vaksin perlu diberikan mengikut jadual imunisasi bagi memastikan perlindungan maksimum terhadap penyakit cegahan vaksin.

“Saya sering menerima pelbagai soalan daripada ibu bapa yang keliru dan bimbang mengenai vaksin untuk bayi. Mereka mendapat begitu banyak maklumat yang meragukan dan bercanggah daripada rakan dan keluarga hinggakan tidak tahu siapa yang harus dipercayai,” katanya.

Menerusi penggunaan aplikasi MYVaksinBaby, ibu bapa tidak perlu bimbang kemungkinan terlepas jadual suntikan lagi. Sebaik sahaja mereka mendaftarkan anak, aplikasi ini akan menghantar peringatan automatik mengingatkan mengenai jadual atau temu janji vaksinasi anak yang berikutnya mengikut umur.

“Jadual ibu bapa bekerja mungkin penuh dengan mesyuarat dan majlis di pejabat. Semua komitmen ini mungkin menyebabkan mereka terlupa suntikan vaksinasi anak yang seterusnya. Selain itu, aplikasi ini juga memberi jawapan kepada soalan yang sering ditanya seperti bagaimana vaksin melindungi anak, adakah vaksin dibenarkan dalam Islam atau adakah vaksin selamat.

“Ia sebenarnya boleh menjadi satu sumber yang baik untuk menolong ibu bapa menangani subjek yang mengelirukan ini. Malah, aplikasi ini ibarat memiliki doktor pada telefon yang dapat memberikan maklumat mengenai penyakit cegahan vaksin,” katanya.

Katanya, selepas anak mendapat suntikan, ibu bapa boleh menggunakan sistem rekod vaksinasi dalam aplikasi ini untuk memantau setiap dos yang diberikan dan sebarang vaksin yang dipinda ke tarikh lain.

“Selalunya kanak-kanak tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas diberi vaksin. Jika ada, kesannya hanya sedikit. Bagaimanapun, ibu bapa tidak dapat mengelak dari berasa cemas, jadi aplikasi ini menyediakan maklumat dan pautan kepada sumber lain untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Dengan MYVaksinBaby, semua yang ibu bapa dan orang awam perlu tahu untuk melindungi bayi dan kanak-kanak daripada jangkitan atau penyakit cegahan ada di telefon pintar mereka. Maklumat disusun dari A hingga Z mengenai vaksinasi,” katanya.

MYVaksinBaby adalah aplikasi yang mesti dimiliki oleh semua ibu bapa di Malaysia. Ia boleh dimuat turun secara percuma di AppStore (iOS) dan di Google Play (versi beta Android). Ia adalah sebahagian program Immunise4Life yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan bersama Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:16 PM