Hajahfarhana Tarmudi


Syawal menjelang tiba. Rata-rata daripada kita sudah mula menyediakan keperluan menyambut musim perayaan itu sedikit demi sedikit.

Selain pakaian dan perhiasan rumah, biskut raya juga tidak dilupakan. Ada yang gemar membeli dan tidak kurang juga yang mahu membuat sendiri kerana rasa lebih puas serta yakin dengan keenakannya.

Jika mahu menyediakan sendiri biskut raya di rumah, boleh cuba resipi biskut crumble halia Nestum dengan langkah mudah yang ditunjukkan cef selebriti, Muhammad Naim Ramli atau lebih dikenali sebagai Cef Naem.

Cef Naem menunjukkan demonstrasi menyediakan biskut raya berkenaan ketika majlis peraduan memasak tahunan peringkat akhir, Empayar Sajian Nestum yang diadakan, baru-baru ini.

Konsep penciptaan resipi yang cepat, mudah dan berkhasiat ditambah dengan kebaikan multi bijirin memberi pilihan yang ringkas kepada individu berminat menyediakan biskut raya sendiri di rumah.

Multi bijirin Nestum diperbuat daripada adunan gandum penuh, beras dan jagung yang sarat dengan vitamin B1 serta zat besi.

Bahan A

- 200g mentega (dilembutkan)

- 100g gula kastor

Bahan B

- 3 biji kuning telur

Bahan C

- 55g tepung

- 55g tepung jagung

- ½ sudu teh serbuk penaik

- ½ sudu teh soda bikarbonat

- 1 sudu teh serbuk halia

- 170g bijirin Nestum, dikisar halus

Bahan hiasan:

- 100g coklat putih (dicairkan)

Langkah penyediaan:

1. Pukul bahan A sehingga ringan dan berkrim. Campurkan bahan B dengan perlahan dan kacau sehingga sebati.

2. Ayak semua bahan C dan campur ke dalam adunan.

3. Masukkan bijiran Nestum dan gaul untuk membentuk doh lembut.

4. Panaskan ketuhar pada suhu 170 darjah Celsius.

5. Kepal doh dan letakkan di antara dua helaian kertas pembakar. Canai setebal ketebalan 5 milimeter (mm).

6. Tekap dengan acuan berbentuk hati dan pindahkan ke dalam dulang yang dialas kertas pembakar.

7. Bakar selama 10 hingga 12 minit atau sehingga bertukar warna perang keemasan. Pindahkan ke rak dawai untuk disejukkan.

8. Untuk hiasan, cairkan coklat putih di dalam ketuhar gelombang mikro atau dengan cara ‘double-boil’.

Masukkan coklat yang dicairkan ke dalam beg paiping dan hiaskan biskut. Biarkan sejuk dan simpan di dalam bekas kedap udara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 4:19 AM