NURULHUDA (kiri) dan Rosliza (kanan) bersama duta Ainnor Beauty, Emma Akma.
NURULHUDA (kiri) dan Rosliza (kanan) bersama duta Ainnor Beauty, Emma Akma.
JAKUZI luas dan selesa.
JAKUZI luas dan selesa.
RAWATAN wajah di Ainnor Beauty.
RAWATAN wajah di Ainnor Beauty.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kali pertama mendengar rawatan mandi bulan purnama, fikiran sudah menerawang jauh ke Tangkuban Perahu, Bandung. Tergambar acara tradisi wanita mandi secara beramai-ramai di tengah malam ketika bulan mengambang penuh. Namun apa yang berlaku di Jawa Barat itu sebenarnya jauh berbeza dengan rawatan ditawarkan Ainnor Beauty Spa di Wangsa Maju.

Mengetengahkan konsep spa Muslimah, pusat rawatan kecantikan yang diasaskan Rosliza Rahman dan Nurulhuda Rahim ini cukup sesuai untuk mereka yang mementingkan penjagaan aurat, kualiti rawatan, layanan serta keselesaan.

Dibuka sejak 2014, spa ini menawarkan pelbagai pilihan rawatan khusus untuk wanita, bermula dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

Menariknya, semua pilihan ditawarkan pada harga berpatutan termasuk rawatan paling unik di spa ini, mandi bulan purnama.

Menurut Nurulhuda, mandi bulan purnama dibuat hanya pada 15 hari bulan, mengikut kalendar Islam. Rawatan istimewa itu disediakan hanya untuk seorang pelanggan setiap bulan dan dijalankan selepas Maghrib.

“Ringkasnya, ia dipanggil mandi hajat. Ia sesuai untuk wanita yang ada hajat seperti menyimpan hasrat untuk berkahwin, menaikkan seri wajah atau menghilangkan tekanan.

“Selain menikmati suasana spa yang tenang, mandian mengandungi garam dan titisan minyak aromatika aura ini sebenarnya membawa banyak manfaat kepada kesihatan tubuh.

“Pada sebelah malam, proses penyembuhan badan biasanya berada di tahap kemuncak dan potensi penyerapan badan meningkat. Jadi, dalam keadaan berendam, tubuh akan menyerap bahan galian garam dan aroma daripada minyak pati bunga. Semua ini meresap melalui kulit dalam bentuk ion,” katanya.

Jelas Nurulhuda, selain khasiat garam dan pati bunga, rawatan mandian itu juga dipercayai membebaskan banyak aura positif menerusi taburan kenanga, melati dan mawar.

“Aroma indahnya menyerap dan mengharumkan tubuh. Begitupun, kelebihan sebenar mandian ini sukar dizahirkan dengan kata-kata dan hanya boleh dirasai mereka yang mencubanya. Sebab itulah rawatan ini disifatkan istimewa.

“Tambahan kita hanya mempunyai satu bilik rawatan mandian. Jika tarikh 15 hari bulan sudah ditempah, tidak akan ada hari dan waktu lain yang boleh menggantikan rawatan mandian ini sehinggalah bulan berikutnya,” katanya.

Spa sehenti

Melangkah masuk ke ruang menunggu di spa ini, pengunjung disambut dengan alunan muzik tradisional Bali yang tenang dan damai. Sekalipun mempunyai keluasan

terhad, Nurulhuda dan Rosliza bijak membahagikan ruang kepada bilik rawatan, sauna, jakuzi, salun serta studio.

“Kami tawarkan banyak pilihan rawatan wajah, seperti rawatan asas (relaxing facial), aromaterapi (untuk kesan lebih relaks), vitamin C (menggunakan mesin penyerapan khas), rawatan berlian (membuang sel kulit mati dan mencerahkan kulit) serta resdung (asap).

“Paling popular adalah rawatan berlian kerana ia bukan saja membersihkan liang pori dengan selamat, malah kesan cerah berserinya boleh kekal antara dua hingga tiga hari selepas rawatan,” katanya.

Bagi yang mahukan khidmat urutan dan skrub, spa ini tidak kurang hebatnya dalam menyediakan yang terbaik untuk pelanggan. Bermula dari urutan spa, Ainnor Beauty juga menawarkan pilihan urutan seperti urutan aromaterapi, tradisional khusus untuk ibu selepas bersalin, melangsingkan tubuh dan bahu.

“Sementara rawatan skrub badan pula boleh didapati dalam lima pilihan iaitu teh hijau, garam, beras, kopi dan coklat,” katanya.

Selain bilik rawatan dan jakuzi yang selesa, spa ini dilengkapi ruang salun tertutup. Ia sesuai untuk wanita bertudung yang mahu mendapatkan khidmat dandanan rambut dalam suasana meyakinkan.

Duta spa, produk

Selari dengan keperluan untuk mengangkat tabiat berhias dalam kalangan wanita, spa ini melantik dramatis, Emma Akma Yunus sebagai duta kecantikannya.

Menurut Rosliza, pelantikan pelakon itu bertujuan menarik lebih ramai pengunjung wanita, sekali gus mempromosikan spa dan produk keluaran mereka, EizzaVelvety Skincare.

“Kami merancang melebarkan lagi perkhidmatan dan produk keluaran kami pada masa akan datang. Dengan adanya Emma, kami percaya perancangan kami akan berjalan lebih lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 10:29 AM