VIRUS influenza boleh menjangkiti seluruh keluarga .
VIRUS influenza boleh menjangkiti seluruh keluarga .
VIRUS influenza boleh merebak dengan mudah.
VIRUS influenza boleh merebak dengan mudah.
VAKSIN flu cara terbaik cegah influenza. (sumber skeptical raptor)
VAKSIN flu cara terbaik cegah influenza. (sumber skeptical raptor)

Apabila sesi persekolahan bermula pada awal tahun ini, anda mungkin antara ibu bapa yang mempunyai perasaan lega dan pada masa sama bimbang.

Setiap ibu bapa tahu perasaan ini. Walaupun tidak sabar menghantar anak ke sekolah, anda juga sedar mereka boleh jatuh sakit. Selepas itu, semua ahli keluarga pula akan sakit, seorang demi seorang. Walaupun sudah sembuh, anak anda mungkin akan pulang dari sekolah dan sakit semula!

Sekolah dan tadika adalah kawasan pengumpulan bakteria dan virus. Kanak-kanak bermain rapat bersama di dalam satu tempat, berkongsi makanan dan tidak membasuh tangan dengan kerap.

Sesetengah jangkitan seperti demam selesema biasanya ringan dan sekejap sahaja. Jangkitan lain seperti influenza, boleh membahayakan kanak-kanak. Berita terkini berkenaan jangkitan saluran pernafasan atas - seakan-akan influenza ataupun ILI (influenza-like illness) yang menjangkiti kanak-kanak sekolah mungkin akan lebih merunsingkan anda.

Jatuh sakit adalah perkara biasa semasa membesar tetapi kita tidak perlu membiarkan anak terdedah kepada komplikasi influenza yang serius. Anda sebenarnya boleh melindungi diri sendiri dan ahli keluarga anda daripada influenza dengan vaksin.

Mama, saya tak sihat

Berat perasaan apabila mendengar keluhan yang kerap diucapkan oleh anak yang tidak sihat. Anak kelihatan lesu, batuk dan demam selain mengadu tubuhnya sakit: semua tanda lazim untuk influenza atau flu.

Ramai ibu bapa tersalah anggap influenza adalah demam selesema biasa. Kedua-duanya mempunyai simptom yang serupa tetapi sebenarnya berpunca daripada virus yang berbeza.

Perbezaan utama di antara influenza dan demam selesema adalah influenza lebih serius dan boleh membawa kepada komplikasi seperti pneumonia, jangkitan sinus dan telinga.

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital akibat influenza, manakala kanak-kanak berusia di antara dua hingga lima tahun menghadapi risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi yang dinyatakan di atas.

Sesetengah kanak-kanak, seperti yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti asma atau lelah, sindrom nefrotik dan lain-lain boleh dijangkiti dengan lebih teruk sehingga membabitkan kematian.

Virus influenza tersebar melalui titisan cecair yang dipindahkan ke udara apabila individu yang sakit itu batuk, bersin atau bercakap.

Kanak-kanak mungkin dijangkiti influenza dengan menyentuh permukaan atau permainan yang sudah disentuh oleh seseorang dijangkiti influenza dan kemudian menyentuh hidung, mulut atau mata mereka. Virus ini boleh terus hidup di permukaan selama dua hingga lapan jam.

Anak sakit, keluarga sakit

Apabila terdapat wabak influenza di dalam komuniti, kanak-kanak dalam usia persekolahan lebih mudah dijangkiti. Kanak-kanak juga adalah sumber utama penyebaran influenza, membawa virus itu ke rumah dan menjangkiti ibu bapa, adik beradik, datuk, nenek dan ahli keluarga lain.

Kanak-kanak juga menyimpan virus itu untuk tempoh yang lebih lama berbanding orang dewasa dan boleh menyebarkan influenza selama 10 hari atau lebih selepas simptom bermula.

Jangkitan influenza yang kerap boleh membebankan seisi keluarga. Kanak-kanak tidak dapat bersekolah, manakala ibu bapa perlu mengambil cuti untuk membawa mereka berjumpa doktor dan ini membabitkan kos yang tinggi.

Perlindungan daripada influenza

Apabila anak anda jatuh sakit, tiada cara untuk mengetahui sama ada ia hanya demam selesema atau influenza yang lebih serius.

Inilah sebabnya vaksinasi influenza adalah cara terbaik untuk melindungi anak anda dan seisi keluarga.

Pusat Kawalan Penyakit di Amerika Syarikat menyarankan vaksinasi influenza tahunan untuk kanak-kanak berusia enam bulan dan ke atas. Kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lapan tahun mungkin memerlukan dua dos vaksin ini pada permulaannya.

Kanak-kanak di bawah usia enam bulan masih terlalu muda untuk diberikan vaksin. Lindungilah mereka daripada influenza dengan memastikan anak yang lebih tua dan ahli keluarga yang lain serta penjaga di rumah mendapat vaksin ini.

Disebabkan virus influenza sentiasa bermutasi, anda perlu mendapatkan vaksin setiap tahun. Anggaplah ia sebagai sebahagian daripada keperluan sekolah yang perlu dibeli, seperti pakaian seragam dan buku teks. Anda dan keluarga boleh menghentikan kitaran influenza yang merbahaya. Bivla anak sihat, semua orang bahagia.

*Artikel sumbangan program Immunise4Life oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 2:03 PM