PENERBANGAN itu menggunakan pesawat kecil Britten-Norman Islander. FOTO Loganair
PENERBANGAN itu menggunakan pesawat kecil Britten-Norman Islander. FOTO Loganair
Agensi

Edinburgh: Penerbangan antara dua pulau di Scotland iaitu Westray dan Papa Westray memegang rekod dunia untuk trip komersial terpendek, kerana pesawat itu berada di udara, kurang daripada dua minit.

Oddity Central melaporkan, individu yang tinggal di Kepulauan Orkney itu hanya mempunyai dua pilihan untuk ke dua pulau berkenaan iaitu sama ada menaiki feri atau penerbangan dengan pesawat kecil untuk tempoh yang singkat.

Pesawat paling menjadi pilihan kerana perkhidmatan feri sering menghadapi gangguan akibat laut bergelora.

Penerbangan komersial terpendek di dunia itu pertama kali diwujudkan pada 1967, dan sejak itu, ia dikendalikan oleh Loganair.

Ia membabitkan jarak yang lebih pendek daripada landasan di kebanyakan lapangan terbang utama, dan lebih serupa dengan perjalanan dengan bas berbanding perjalanan dengan kapal terbang.

Penumpang diterbangkan dengan Britten-Norman Islander, sebuah pesawat kecil yang memerlukan seorang juruterbang dan hanya mempunyai lapan tempat duduk.

Seperti yang anda boleh bayangkan, tiada perkhidmatan dalam penerbangan.

Penerbangan lazimnya mengambil masa antara 90 dan 120 saat tetapi jika cuaca baik, ia boleh berakhir dalam masa kurang seminit iaitu 53 saat saja.

Bagaimanapun, dalam keadaan yang tidak baik, pesawat itu akan berada di udara selama hampir tiga minit.

Bagi penduduk Kepulauan Orkney, tambang penerbangan ini menerima subsidi daripada Kerajaan Scotland, manakala pelancong dikehendaki membayar antara 17 hingga 45 pound sterling (kira-kira RM102 dan RM269).

Walaupun populasi kedua-dua pulau itu kecil, penerbangan dengan tempoh terpendek di dunia boleh menjadi agak sibuk ketika musim panas, kerana ramai pelancong yang bersedia untuk merasai pengalaman unik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 11:19 AM