PUTERI Anne. FOTO fail Reuters
PUTERI Anne. FOTO fail Reuters
Bernama-Dpa

London: Puteri Anne, adik kepada Raja Britain Raja Charles III, kini berada di hospital selepas mengalami kecederaan ringan di kepala dan konkusi dipercayai ditendang seekor kuda di estet Gatcombe Park miliknya di England, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ketika kejadian pada petang Ahad itu , Puteri Anne, 73, seorang penunggang kuda yang memenangi pingat Olimpik, berjalan di estet berkenaan.

Perkhidmatan kecemasan dihantar ke estet itu dan selepas menerima rawatan perubatan di lokasi, puteri itu dipindahkan ke Hospital Southmead di Bristol untuk menjalani ujian, rawatan dan pemerhatian yang sewajarnya.

Istana Buckingham dalam satu kenyataan berkata: "Puteri Anne mengalami kecederaan ringan dan konkusi selepas insiden di estet Gatcombe Park petang semalam.

"Yang Amat Mulia masih berada di Hospital Southmead, Bristol, sebagai langkah berjaga-jaga untuk pemerhatian dan dijangka pulih sepenuhnya dengan cepat.

Raja dimaklumkan dengan rapi dan bersama seluruh keluarga diraja menzahirkan kasih sayang mereka dan ucap selamat kepada puteri untuk pemulihan yang cepat.

Punca sebenar kecederaan belum disahkan, tetapi pasukan perubatan Puteri Anne berkata, kecederaan di kepala baginda adalah konsisten dengan kesan daripada kepala atau kaki kuda.

Suami Puteri Anne, Laksamana Madya Tim Laurence, yang berada di estet pada masa itu, menemani baginda ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:41 AM