USAHA menyelamatkan paus beluga berkenaan. FOTO AFP
USAHA menyelamatkan paus beluga berkenaan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Dua ikan paus beluga dipindahkan dari akuarium di Ukraine yang dilanda perang, ke Sepanyol, melalui jalan darat dan kapal terbang dalam satu operasi berisiko tinggi.

Jurucakap Akuarium Oceanagrafic berkata, paus jantan berusia 15 tahun bernama Plombir dan paus betina berusia 14 tahun, Miranda, selamat tiba dalam keadaan sihat di kemudahan yang di pelabuhan di Laut Mediterranean, di Sepanyol iaitu Valencia pada petang Selasa.

"Haiwan itu berjaya melalui perjalanan yang melelahkan merentasi zon perang", kata pihak akuarium itu dalam satu kenyataan.

Katanya, haiwan itu diangkut melalui darat dari Nemo Dolphinarium di Kharkiv, timur laut Ukraine ke pelabuhan selatan negara itu, Odesa yang mengambil masa 12 jam pemanduan.

"Selepas pemeriksaan kesihatan, haiwan itu dibawa melintasi sempadan ke Chisinau, ibu kota Moldova sebelum diterbangkan dengan pesawat sewa enam tempat duduk ke Valencia.

"Operasi menyelamat yang berisiko tinggi dan kompleks memberikan pelbagai cabaran dan memerlukan kerjasama pelbagai negara," kata kenyataan itu.

Pakar dari Akuarium Georgia dan SeaWorld di Amerika Syarikat mengambil bahagian dalam misi menyelamat itu.

Pasukan pakar perubatan dan pemakanan menjaga beluga di Valencia, manakala dua penjaga Ukraine akan tinggal bersama haiwan itu selama beberapa minggu untuk membantu proses peralihan.

"Penyelamatan berani ini, satu peristiwa bersejarah di seluruh dunia dari segi perlindungan haiwan," kata ketua kerajaan wilayah Valencia, Carlos Mazon.

Tembakan meriam Rusia ke atas Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan bom jatuh hanya beberapa ratus meter dari akuarium yang menjadi tempat tinggal ikan paus itu.

Pengarah operasi zoologi di akuarium Oceanografic Valencia, Daniel Garcia-Parraga berkata, jika ikan paus itu kekal di Kharkiv, peluang ia untuk hidup sangat tipis.

Sejak Rusia menyerang Ukraine pada 2022, Nemo Dolphinarium di Kharkiv berjaya memindahkan beberapa anjing laut, singa laut dan ikan lumba-lumba, namun pemindahan beluga memerlukan persiapan berbulan-bulan kerana keadaan saiznya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:45 PM