REPLIKA kapal terbang MH370. FOTO arkib NSTP
REPLIKA kapal terbang MH370. FOTO arkib NSTP
Agensi

London: Penyelidik Britain mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang di Lautan Hindi sedekad lalu.

Menurut laporan akhbar harian The Telegraph, isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai kehabisan minyak dan terhempas ke dalam lautan selepas melencong daripada perjalanan Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Walaupun pencarian meluas meliputi lebih 119,140 kilometer persegi, hanya 18 serpihan pesawat ditemui terdampar.

Penyelidik dari Wales dilaporkan mengambil isyarat enam saat menggunakan mikrofon bawah air, atau hidrofon, yang berpotensi membawa ke lokasi terakhir pesawat.

Hidrofon ini, pada asalnya direka untuk mengesan ujian nuklear yang dilarang, mengambil isyarat sekitar masa pesawat itu dipercayai terhempas.

Berdasarkan kajian penyelidik, pesawat Boeing 777 seperti MH370 akan menjana tenaga kinetik setara dengan gempa bumi kecil jika ia terhempas pada kelajuan 200 meter sesaat.

Kesan sedemikian akan cukup besar untuk dirakam oleh hidrofon beribu-ribu batu jauhnya.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata kertas cadangan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian MH370 akan dibawa ke peringkat Kabinet pada Ogos depan.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya perlu menyediakan kertas cadangan secara terperinci terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet.

Kerajaan sebelum itu dilaporkan akan meneliti cadangan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 yang hilang.

Oceans Infinity dilaporkan bersedia untuk memulakan misi pencarian pada November tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 5:19 PM