LELAKI Palestin berjalan melalui bangunan yang musnah di selatan Gaza. FOTO AFP
LELAKI Palestin berjalan melalui bangunan yang musnah di selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Paris: Pertubuhan hak asasi, Amnesty International pada Isnin menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat jenayah perang tiga serangan Israel, baru-baru ini, yang mengorbankan 44 orang awam Palestin, termasuk 32 kanak-kanak.

Pertubuhan itu memaklumkan tiga serangan Israel dengan salah satunya di kem pelarian al-Maghazi di tengah Gaza pada 16 April, manakala dua lagi serangan di Rafah di selatan Gaza masing-masing pada 19 dan 20 April.

"Kes yang didokumenkan di sini menggambarkan corak serangan yang jelas sejak tujuh bulan lalu di mana tentera Israel melanggar undang-undang antarabangsa, membunuh orang awam Palestin dengan sewenang-wenangnya dan menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa manusia," kata pengarah kanan di Amnesty International, Erika Guevara-Rosas.

Pertubuhan hak asasi manusia itu menjalankan penyiasatan sendiri ke atas serangan itu, menemu bual 17 mangsa yang terselamat dan saksi, serta melawat hospital di mana mereka yang cedera sedang dirawat.

Pada 16 April, serangan udara Israel ke atas kem pelarian al-Maghazi membunuh 10 kanak-kanak berumur empat hingga 15 tahun dan lima lelaki, kata kumpulan hak asasi itu, sambil menambah bahawa puluhan penduduk cedera.

"Amunisi itu mendarat di tengah jalan pasar di mana kanak-kanak bermain di sekeliling meja foosball.

Dua orang anak Jaber Nader Abu Jayab, terbunuh.

"Saya jumpa anak lelaki kepada kakak saya, Mohammed (12 tahun).

"Dia parah dan meninggal dunia dua hari kemudian," kata lelaki berusia 34 tahun itu kepada Amnesty International.

"Kemudian saya menemukan anak perempuan saya Mila berumur empat tahun.

"Dia parah dan dibawa ke hospital, tetapi apabila saya pergi ke hospital kira-kira sejam kemudian, saya dapati dia sudah meninggal dunia.

"Kemudian saya melihat anak perempuan saya, Lujan sudah tidak bernyawa," katanya mengenai kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.

Di Rafah, dua serangan dalam tempoh dua hari membunuh 29 orang awam, kata kumpulan hak asasi manusia itu.

Pada 19 April, sebuah bom yang dilancarkan Israel membedil rumah keluarga Abu Radwan di barat Rafah, membunuh sembilan ahli keluarga termasuk enam kanak-kanak.

Pada 20 April, serangan memusnahkan rumah keluarga Abdelal di timur Rafah, membunuh 20 ahli keluarga, termasuk 16 kanak-kanak

Minggu lalu, pendakwa raya ICC , Karim Khan, memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin tertinggi Hamas kerana disyaki melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 1:11 PM