JEFF Bezos. FOTO Facebook
JEFF Bezos. FOTO Facebook
Agensi

Berlin: Juruelektrik Jerman yang meninggalkan pekerjaannya untuk menjadi 'klon' Jeff Bezos, mendakwa bahawa dia kini menikmati gaya hidup mewah seperti bilionair itu, lapor NDTV.

Cagdas Halicilar, 46, mengatakan dia kelihatan seperti 'saudara kembarnya'.

Selepas memutuskan untuk meraih pendapatan sebagai kembar Bezos, nasibnya berubah dengan ketara apabila dia kini sering melancong dengan pelayaran mewah.

Dia juga menikmati populariti besar kerana ramai peminat Bezos mendekatinya untuk berswafoto dan merakam video.

Semuanya berlaku beberapa tahun lalu apabila rakannya menunjukkan kepadanya gambar Jeff Bezos dan menunjukkan persamaan mereka.

''Apabila saya menjadi ahli perniagaan, kenalan saya memberitahu saya bahawa saya kelihatan seperti bilionair.

"Saya tidak tahu apa yang mereka maksudkan dengan itu sehingga mereka menunjukkan kepada saya foto Jeff Bezos. Beberapa rakan saya bergurau bahawa dia mengklonkan saya," katanya.

Halicilar kemudian mula meniru watak pengasas Amazon itu dan mendaftar dengan agensi doppelganger.

Doppelganger merujuk kepada individu yang mempunyai persamaan wajah tetapi tidak mempunyai pertalian darah.

"Satu-satunya perkara yang saya lakukan ialah mencukur kepala saya dan kerap menggunakan krim Nivea. Tetapi saya sudah melakukan ini sudah lebih 10 tahun,'' kata Halicilar.

Popularitinya menyebabkan dia mendapat beberapa peluang besar, termasuk tampil dalam pelbagai persembahan dan acara, termasuk di televisyen.

Lelaki ini juga pernah menjadi pelakon tambahan di siri Netflix dalam Bahasa Jerman, King of Stonks.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 12:18 PM