EMILE Soleil. FOTO Agensi
EMILE Soleil. FOTO Agensi
AFP

Paris: Punca kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun setengah yang hilang di perkampungan di pergunungan Alpine di Perancis, musim panas lalu, masih belum dapat disahkan, walaupun tengkorak dan pakaiannya ditemukan hujung minggu lalu.

Pendakwa raya, Aix-en-Provence Jean-Luc Blanchon berkata, tengkorak dan gigi yang ditemukan setakat ini tidak menunjukkan punca kematian mangsa, Emile Soleil.

"Setakat ini, antara andaian pembunuhan tiada hipotesis yang boleh diberi keutamaan lebih tinggi daripada yang lain untuk menjelaskan kematian itu.

"Baju-T, kasut dan seluar pendek yang ditemukan 150 meter dari tengkorak itu akan diperiksa ketika siasatan diteruskan.

"Tiada kecederaan ante mortem (sebelum kematian) diperhatikan pada tengkorak, namun ada kesan yang mungkin berlaku selepas kematian dari haiwan berhampiran kawasan itu," katanya.

Puluhan anggota polis dan penyiasat, dibantu anjing pengesan meneruskan operasi mencari yang dijangka dijalankan, hari ini.

Pencarian akan diteruskan selama mana yang diperlukan dengan tiada orang luar dibenarkan masuk ke kawasan Haut-Vernet, yang menjadi tempat tinggal kepada hanya 25 orang.

Penyiasat di lapangan sedang dibantu oleh rakan forensik di Paris memeriksa rangka yang ditemukan.

Tumpuan terarah kepada datuk kanak-kanak itu yang pernah disoal siasat pada 1990-an berhubung dakwaan keganasan dan serangan seksual di sebuah sekolah swasta.

Tetapi sumber berkata, sebarang kemungkinan peranan dalam kes itu hanya dipertimbangkan dengan hipotesis lain.

Peguam datuk kanak-kanak itu enggan mengulas perkara itu bagi menghormati kesedihan keluarga.

Emile berada di rumah musim panas datuk dan neneknya di dusun Le Haut-Vernet apabila dia hilang pada Julai lalu, sehingga kesnya mendapat perhatian besar di Perancis.

Seorang pejalan kaki menemui tengkorak dan gigi kanak-kanak lelaki itu kira-kira 25 minit berjalan kaki dari kampung itu pada hujung minggu lalu, sebelum penyiasat menemukan pakaiannya di kawasan itu.

Dua jiran, kali terakhir, melihat Emile berjalan seorang diri di jalan di Le Haut Vernet, pada ketinggian 1,200 meter dari aras laut, pada 8 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:53 AM