FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Madrid: Mahkamah wilayah di Pontevedra, Sepanyol, baru-baru ini, memerintahkan seorang lelaki membayar 88,025 euro (kira-kira RM451,000) kepada bekas isteri, sebagai pampasan atas khidmat wanita itu sebagai suri rumah selama 26 tahun.

Oddity Central melaporkan, pasangan yang tidak disebutkan namanya itu berkahwin pada 1996 sebelum berpisah dua tahun lalu.

Sepanjang tempoh perkahwinan, wanita itu hanya bekerja selama 205 hari dan 'menghambakan' dirinya untuk membesarkan anak perempuan tunggal mereka.

Selepas berpisah, bekas suaminya tinggal di rumah keluarga, manakala dia terpaksa menyewa kediaman lain. Wanita itu juga terpaksa mencari pekerjaan dengan segera untuk menyara dirinya.

Tetapi kerana menghabiskan 26 tahun hidupnya sebagai suri rumah, dia mengemukakan tuntutan pampasan untuk semua kerja rumahnya selama tempoh itu.

Keputusan awal dalam kes luar biasa itu menetapkan pampasan yang perlu dibayar oleh defendan kepada bekas isterinya adalah sebanyak 120,000 euro (kira-kira RM615,066). Tetapi kedua-dua pihak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Lelaki itu bersetuju untuk membayar pampasan tetapi mahukan pengurangan jumlah sebanyak 60,000 euro (kira-kira RM307,533).

Bekas isteri sebaliknya, menuntut kenaikan bayaran pencen dengan alasan dia sebelum ini mendedikasikan hidup untuk membesarkan anak perempuan mereka.

Dalam hujahnya, wanita itu memberitahu mahkamah dia bekerja dari 1989 hingga setahun selepas berkahwin dengan bekas suaminya, sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.

Lelaki itu mempertikaikan permohonan itu dengan alasan wanita berkenaan mempunyai pekerjaan untuk menyara dirinya, tanpa beban menjaga anak kerana anak perempuan mereka sudah cukup umur dan tidak tinggal bersama ibunya.

Akhirnya, Mahkamah Wilayah Pontevedra memutuskan pampasan awal sebanyak 120,000 euro (kira-kira RM615,066) dikurangkan kepada 88,025 euro (kira-kira RM451,177).

Lelaki itu juga diperintahkan membayar bekas isterinya pencen sebanyak 350 euro (kira-kira RM1,794) sebulan selama tiga tahun, dan ia dikemas kini setiap tahun mengikut indeks inflasi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 1:20 PM