NOTA yang ditemui dalam alat pendiang di istana Jersey. FOTO Instagram  Jersey Heritage
NOTA yang ditemui dalam alat pendiang di istana Jersey. FOTO Instagram Jersey Heritage
Agensi

London: Projek pemulihan di istana Jersey membawa kepada penemuan yang mengejutkan di dalam alat pendiang api, iaitu mesej 'James Bond' dalam botol bertarikh 1966.

Portal UPI News melaporkan, Jersey Heritage dalam catatan di media sosial berkata, pekerja yang melakukan kerja pemulihan di tingkat satu kuarters pegawai di Istana Elizabeth membuka sekatan alat pendiang api dan menemui mesej tersembunyi dalam botol.

Nota itu bertarikh 26 Februari 1966, berbunyi: "007 James Bond 26 Februari 1966. P.S. Ejen Rahsia. Jangan beritahu sesiapa."

Bahagian belakang nota itu tertulis, "E. A. Blampied," yang mungkin merujuk kepada artis Jersey Edmund Blampied, yang meninggal dunia pada Ogos 1966.

Nota itu ditulis hampir dua bulan selepas tayangan Thunderball, sebuah filem James Bond yang dibintangi oleh Sean Connery.

Botol itu juga mengandungi edisi akhbar mingguan Reveille dari muka surat 15 hingga 18 bertarikh 23 Februari 1966.

"Kami memerlukan bantuan anda untuk menjelaskan nota misteri," tulis Jersey Heritage dalam hantaran di media sosial itu.

Kumpulan itu meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai mesej dalam botol itu untuk berhubung dengan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:25 PM