Ibu pejabat PBB
Ibu pejabat PBB
Bernama-Dpa

Geneva: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memerlukan AS$46.4 bilion untuk operasi kemanusiaannya pada tahun depan, menurut laporan yang dikeluarkan pada Isnin.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB melaporkan mengenai Gambaran Keseluruhan Kemanusiaan Global 2024 bahawa peruntukan itu akan membantu hampir 181 juta orang di 72 negara.

Walaupun berlaku peperangan, konflik dan bencana iklim serta kebuluran, kemiskinan, wabak penyakit serta perpindahan, sumbangan yang diterima oleh pejabat penyelarasan itu semakin berkurangan.

Ketua OCHA Martin Griffiths berkata sistem kemanusiaan kini berhadapan krisis pembiayaan yang teruk, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Pada 2023, kami hanya menerima lebih satu pertiga daripada AS$57 bilion yang diperlukan," menurutnya dalam kenyataan di laman sesawang OCHA.

"Ini merupakan kekurangan pembiayaan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangkan ini. Namun, kami masih dapat menyampaikan bantuan untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa 128 juta orang di seluruh dunia."

Penurunan mendadak sumber kewangan memaksa agensi kemanusiaan itu mengurangkan bantuan termasuk mengurangkan program makanan, air dan kesihatannya.

Ini menyebabkan sasaran untuk 2024 terpaksa dikurangkan kepada hanya 181 juta penerima berbanding 245 juta orang yang perlu dibantu.

"Saya sangat bimbang tentang bantuan kemanusiaan untuk tahun 2024. Tanpa pembiayaan yang mencukupi, kami tidak dapat menyediakan bantuan untuk menyelamatkan nyawa," kata Griffths.

Disebabkan jumlah sumbangan yang kurang, 10 juta orang di Afghanistan tidak menerima sebarang bantuan makanan antara Mei dan November tahun ini.

Di Myanmar, agak mustahil untuk membina penginapan yang lebih baik kepada setengah juta pendudukannya yang kehilangan tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 5:42 PM