ASAP tebal dilihat di Rafah, selatan Gaza susulan serangan udara Israel. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat di Rafah, selatan Gaza susulan serangan udara Israel. FOTO AFP
Agensi

Copenhagen: Sebagai tindak balas kepada situasi bencana di Gaza, Denmark pada Khamis mengumumkan ia menggandakan jumlah bantuan kemanusiaan kepada orang awam Palestin sebanyak 75 juta krone Denmark (kira-kira RM50.6 juta).

Sokongan kemanusiaan berpusat pada perlindungan kanak-kanak, penghantaran bantuan kecemasan dan makanan, dan bagi menyediakan ubat-ubatan, peralatan perubatan, dan rawatan perubatan kepada orang sakit dan cedera.

Di Gaza, lebih 10,000 orang awam kehilangan nyawa, lebih 4,000 daripadanya kanak-kanak, sejak permulaan konflik pada 7 Oktober.

"Keadaan kemanusiaan di Gaza adalah malapetaka dan semakin merosot dari hari ke hari. Tidak kurang untuk kanak-kanak. Oleh itu, kerajaan memilih untuk menyokong usaha kemanusiaan dengan tambahan 75 juta krone," kata menteri kerjasama pembangunan dan global dasar iklim, Dan Jorgensen.

"Dengan sumbangan kemanusiaan baharu itu, kami memberi tumpuan kepada usaha menyokong yang boleh membantu ramai kanak-kanak yang amat terjejas. Selain itu, masih ada keperluan mendesak untuk orang awam dibantu dengan bantuan kemanusiaan, akses kepada air bersih dan rawatan orang sakit dan cedera," tambahnya.

Di platform media sosial X, Kementerian Luar Denmark berkata, pakej bantuan kemanusiaan akan disalurkan kepada Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Program Makanan Sedunia dan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Pakej sokongan itu membawa jumlah sumbangan kemanusiaan Denmark kepada Palestin sejak permulaan konflik pada 7 Oktober kepada 125 juta krone (kira-kira RM84 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 9:25 AM