Paris: Seorang lelaki didakwa di Perancis atas tuduhan bunuh selepas anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ditemukan meninggal dunia di bilik mandi di unit pangsapuri didiami mereka.
Mayat mangsa ditemukan di pangsapuri di bandar selatan Perpignan itu, Khamis lalu.
Pendakwa raya memaklumkan, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemukan dalam keadaan lebam dan sebahagiannya beku.
Tertuduh yang berusia 28 tahun itu diletakkan dalam tahanan sebelum perbicaraan, kata pendakwa wilayah Jean-David Cavaille kepada AFP.
Lelaki itu juga didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh dua anak perempuan yang masing-masing berumur tiga dan empat tahun.
Sementara itu, bapa saudara dan nenek mangsa yang masing-masing berusia 33 dan 61 tahun dan kedua-duanya daripada sebelah bapa, didakwa kerana gagal melaporkan jenayah.
"Dua anak perempuan tertuduh dimasukkan ke hospital, pemeriksaan perubatan dijalankan mendapati banyak parut di badan dan wajah mereka," kata pendakwa raya.
Bedah siasat kanak-kanak lelaki itu akan dilakukan hari ini.
Pendakwa raya memaklumkan, ibu mangsa pula diberi sokongan psikologi.
Sehingga kini, motif pembunuhan kanak-kanak itu masih belum terungkai.