EMILE yang berusia dua tahun itu tinggal bersama datuk dan neneknya apabila dia hilang pada Sabtu lalu. FOTO Agensi
EMILE yang berusia dua tahun itu tinggal bersama datuk dan neneknya apabila dia hilang pada Sabtu lalu. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Usaha besar-besaran bagi mencari kanak-kanak yang hilang selama empat hari di sebuah dusun di pergunungan Alps di Perancis sudah dihentikan pada Rabu, kata penyiasat.

Menurut penyiasat, tumpuan kini beralih kepada penilaian bukti yang sudah dikumpulkan untuk kes kehilangan budak lelaki itu.

The Straits Times melaporkan, kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Emile, 2, yang tinggal bersama datuk dan neneknya, apabila dia dilaporkan hilang pada Sabtu lalu.

Kali terakhir dia dilihat oleh dua jirannya dan pada waktu itu, Emile berjalan bersendirian di jalan di Haut-Vernet, sebuah kampung kecil dengan 25 penduduk pada ketinggian kira-kira 1,200 meter dari paras laut.

Pendakwa raya tempatan Remy Avon dalam satu kenyataan berkata, pencarian besar-besaran tidak membuahkan sebarang petunjuk untuk menyelesaikan misteri kehilangan budak itu, dan tiada lagi pihak mencari akan dihantar ke lokasi dia hilang.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyiasatan mengenai punca kehilangan Emile akan diteruskan, terutamanya melalui analisis terhadap sejumlah besar maklumat dan elemen yang dikumpul selama empat hari kehilangan budak itu.

Selasa lalu, pendakwa raya itu memberi amaran bahawa nyawa Emile sangat berisiko secara perubatan kerana tempoh kehilangan yang sudah melebihi tempoh 48 jam.

Ini memandangkan usia kanak-kanak itu masih sangat muda, ditambah cuaca semasa yang panas terik.

Bentuk muka bumi dalam zon pencarian adalah berbukit dan berbatu dengan banyak aliran, dan wilayah itu dilanda gelombang haba panas dengan suhu sehingga 35 darjah Celsius sejak kebelakangan ini.

Puluhan anggota polis dan tentera bersama anjing pengesan, selain sebuah helikopter turut digunakan dalam pencarian kanak-kanak berkenaan.

Pasukan mencari sudah menggeledah 30 bangunan, 12 kenderaan dan mencari di kawasan seluas 12 hektar di sekitar Haut-Vernet, selain menemu bual 25 orang dalam usaha mengesan Emile.

Tapak berkenaan sudah dilarang untuk kemasukan orang luar sejak awal Selasa.

Polis masih mengharapkan satu kejayaan hasil daripada kenyataan saksi, dengan turut mengedarkan gambar budak lelaki berambut perang dan bermata hazel itu yang memakai baju atas kuning, seluar pendek putih dan kasut mendaki, pada hari dia hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 2:02 PM