Kepulauan Canary milik Sepanyol menjadi tumpuan migran dari Afrika. FOTO AFP
Kepulauan Canary milik Sepanyol menjadi tumpuan migran dari Afrika. FOTO AFP
BERNAMA

Madrid: Tiga bot membawa lebih 300 migran dipercayai hilang di Lautan Atlantik, kata pegawai kumpulan bantuan pendatang, Walking Borders, pada Ahad.

Agensi Anadolu melaporkan, jurucakap kumpulan itu Helena Maleno berkata, kesemua bot itu meninggalkan kampung Kafountine di selatan Senegal 15 hari lalu ke Kepulauan Canary, pulau milik Sepanyol.

Maleno berkata, terdapat kira-kira 200 pendatang menaiki satu daripada tiga bot, bot kedua (kira-kira 65 orang), manakala bot ketiga (60 orang).

Beliau berkata, ahli keluarga pendatang mengambil berat mengenai keselamatan mereka.

Sekurang-kurangnya 559 pendatang termasuk 22 kanak-kanak maut ketika cuba memasuki Kepulauan Canary pada 2022, menurut data Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 11:09 AM