Boris Johnson. FOTO AFP.
Boris Johnson. FOTO AFP.
Bernama-Dpa

London: Siasatan mendapati bekas perdana menteri Britain Boris Johnson "berulang kali menghina" Parlimen berikutan penafiannya mengenai skandal "partygate" yang membolehkannya digantung selama 90 hari daripada menghadiri persidangan parlimen, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Cadangan oleh Jawatankuasa Keistimewaan untuk menggantungnya atas tindakan beliau yang sengaja mengelirukan Ahli Parlimen, akan membuka jalan kepada pilihan raya kecil jika beliau tidak meletak jawatan dalam tempoh yang dijangkakan.

Johnson mengecam penggantungan itu dan menyifatkannya sebagai "kesimpulan gila", dengan menuduh kumpulan Ahli Parlimen Tory berulang kali cuba memperlekehkan beliau dengan menuduhnya bercakap bohong.

Ahli Parlimen mengesyorkan agar Johnson tidak diberikan pas bekas ahli, yang memberinya akses ke kawasan parlimen.

Sebelum peletakan jawatannya pada Jumaat, mereka mendakwa telah bersetuju secara profesional mengenai penggantungan yang cukup lama yang berpotensi menjurus kepada pilihan raya kecil.

Namun mereka berkata Johnson terus melakukan penghinaan, termasuk menjejaskan proses demokrasi Dewan Rakyat dan "bersubahat dalam kempen salah guna dan cubaan menakut-nakutkan jawatankuasa."

Johnson meninggalkan Parlimen (Commons) minggu lepas setelah membaca hasil laporan itu, yang bermakna beliau akan terlepas daripada prospek sekatan segera.

Penggantungan yang disyorkan jauh melebihi had 10 hari yang jika diluluskan oleh Dewan, boleh membawa kepada pilihan raya kecil di Uxbridge dan South Ruislip.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 8:59 PM