FOTO menunjukkan ikan paus beluga berkenaan ketika ditemukan di perairan di utara Norway pada 2019. FOTO AFP
FOTO menunjukkan ikan paus beluga berkenaan ketika ditemukan di perairan di utara Norway pada 2019. FOTO AFP
Agensi

Stockholm: Seekor paus beluga yang dikatakan 'pengintip Rusia' memasuki perairan Sweden, baru-baru ini.

Paus yang digelar Hvaldimir ditemukan memakai tali pinggang yang dilengkapi dengan kamera GoPro dan klip mengandungi tulisan Equipment of St Petersburg (peralatan milik St Petersburg) dan dipercayai sedang dilatih oleh tentera Rusia, lapor BBC.

Namun, Rusia menafikan kewujudan haiwan itu dalam sebarang program yang bertujuan untuk melatih mamalia laut sebagai pengintip.

Hvaldimir kini berada di perairan Sweden selepas empat tahun berenang ke selatan menyusuri pantai Norway.

Paus beluga yang jinak ini mula menghampiri Pulau Ingoya yang terletak kira-kira 415 kilometer dari Murmansk, lokasi Armada Utara Tentera Rusia.

Seorang ahli biologi marin OneWhale, Sebastian Strand berkata, mungkin terdapat beberapa sebab yang menyebabkan perubahan pergerakan ikan paus itu, baru-baru ini.

"Kami tidak tahu mengapa ia memecut dengan pantas, terutamanya ketika ia bergerak meninggalkan persekitaran semula jadinya," katanya

Menurut Strand, terdapat dua kemungkinan perubahan tingkah lakunya, iaitu kemungkinan mengalami tahap hormon yang tinggi, yang mendorongnya untuk mencari pasangan.

Tambahnya, paus yang dipercayai berusia antara 13 dan 14 tahun itu sedang berada pada usia dengan tahap hormon yang sangat tinggi.

Selain itu, mungkin paus berasa kesepian kerana ikan jenis Beluga ini adalah sejenis yang sangat sosial.

Oleh itu, pergerakannya adalah untuk mencari spesies yang sama sepertinya.

Paus Beluga cenderung untuk hidup di kawasan perairan Artik yang berais di sekitar Greenland, Rusia, Alaska dan utara Norway, dan ada yang berhijrah ke kawasan lain semasa musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 11:57 AM