JURURAWAT secara tidak sengaja menyiarkan detik seorang wanita melahirkan anak di sebuah hospital di Belgrade. FOTO Agensi
JURURAWAT secara tidak sengaja menyiarkan detik seorang wanita melahirkan anak di sebuah hospital di Belgrade. FOTO Agensi
Agensi

Belgrade: Seorang jururawat di Serbia dikecam kerana secara tidak sengaja menyiarkan secara langsung di TikTok semasa seorang wanita melahirkan anaknya di sebuah hospital bersalin di sini, kira-kira 4.30 pagi, Selasa lalu.

Menurut laporan, kira-kira 200 orang melihat siaran langsung itu, dengan ramai yang mengadu kepada media tempatan mengatakan bahawa privasi pesakit sudah dilanggar.

Susulan kejadian, pihak hospital mengecam tindakan jururawat itu, dengan mengatakan bahawa wanita terbabit sudah digantung kerja serta-merta dan bakal menghadapi prosiding tatatertib.

Jurucakap hospital itu dipetik dalam media tempatan berkata: "Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menunjukkan kejadian seperti ini kepada kami tepat pada masanya, supaya kami dapat bertindak dengan segera dan mengambil semua langkah yang perlu supaya perkara seperti tidak akan berlaku lagi."

Mereka menyatakan penggunaan telefon bimbit di wad bersalin dan di bilik bedah, adalah dilarang.

Pada masa ini, tidak jelas sama ada ibu yang dirakam melahirkan dalam siaran TikTok itu memberikan persetujuannya untuk disiarkan secara langsung di internet.

Jururawat itu mendakwa dia tidak tahu proses kelahiran itu disiarkan secara langsung.

Dia mendakwa bahawa penstriman itu secara tidak sengaja.

"Semasa syif malam, kita semua tahu bahawa penggunaan telefon bimbit dilarang di dalam dewan bedah, tetapi apabila kami dipanggil untuk pembedahan Caesarean kecemasan... saya hanya meninggalkan telefon di atas rak sarung tangan, tanpa menyedari bahawa kamera dihidupkan sedang bersiaran secara langsung di TikTok.

"Sebelum panggilan ke dewan, kami menonton TikTok dan itu adalah perkara terakhir. Dari video itu dapat dilihat bahawa tiada sesiapa di dalam dewan menyedari telefon itu menyiarkan (proses kelahiran itu) secara langsung," katanya.

Wanita itu yang sudah 14 tahun berkhidmat sebagai jururawat turut memohon maaf atas kesilapannya itu.

"Sekali lagi, saya mengulangi bahawa saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada pesakit, keluarganya, kepada klinik tempat saya bekerja, kepada semua rakan sekerja saya, dan kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 10:33 AM