HUMZA Yousaf. FOTO AFP
HUMZA Yousaf. FOTO AFP
AFP

Edinburgh: Parlimen Scotland pada Selasa mengesahkan Humza Yousaf menggantikan Nicola Sturgeon sebagai menteri pertama, sekali gus menjadi pemimpin termuda negara itu dan Muslim pertama yang memimpin kerajaan di barat Eropah.

Yousaf, 37, menang tipis dalam pemilihan Parti Kebangsaan Scotland (SNP) pada Isnin untuk menang jawatan tertinggi parti itu, kembali dengan azam untuk mengembalikan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan bagi Scotland.

Beliau kemudian mendapat pencalonan majoriti daripada penggubal undang-undang menerusi undian pada Selasa untuk menjadi sebagai menteri pertama dan akan mengangkat sumpah secara rasmi pada Rabu.

Menjelang pengesahan undi, Yousaf mengakui "ada tugas besar menanti" apabila menggantikan Sturgeon tetapi berazam untuk "meneruskan usaha dalam memastikan Scotland mempunyai suara yang positif dan progresif dalam dunia".

"Kita juga akan meneruskan usaha untuk kemerdekaan," katanya.

Yousaf pada Isnin berkata untuk menjadi "generasi yang memberikan kemerdekaan untuk Scotland" dan berkata, beliau akan meminta London mengadakan satu lagi undian mengenai perkara itu.

Perdana Menteri United Kingdom Rishi Sunak mengucapkan tahniah kepada Yousaf pada Selasa menerusi perbualan pertama mereka selepas kemenangan Yousaf.

Terdahulu, Sturgeon menghantar surat peletakan jawatannya kepada Raja Charles III, dan meninggalkan kediaman rasmi menteri pertama di Edinburgh.

Parti SNP berbangga apabila Scotland menjadi demokrasi pertama di barat Eropah yang melantik pemimpin Muslim.

Perubahan politik di Scotland susulan tindakan Sturgeon yang tiba-tiba mengumumkan meletak jawatan pada bulan lalu selepas lapan tahun menjawat jawatan menteri pertama.

Ia dilakukannya selepas tempoh bergolak dalam kerajaan pimpinan pemimpin wanita itu, yang menyaksikan sokongan terhadap kemerdekaan Scotland semakin merosot.

Kaji selidik terkini menunjukkan kira-kira 45 peratus daripada penduduk Scotland menyokong cadangan berpisah dengan UK.

Yousaf, adalah menteri kesihatan dalam kabinet ketika pentadbiran Sturgeon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 9:13 AM