BRIANNA dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di badan. FOTO agensi
BRIANNA dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di badan. FOTO agensi
Agensi

London: Polis British menahan remaja lelaki dan perempuan berusia 15 tahun selepas disyaki membunuh seorang transgender di Culcheth Linear Park berhampiran Warrington, Cheshire, pada Sabtu.

Daily Mail melaporkan kedua-dua suspek itu kini dalam tahanan polis bagi membantu siasatan pembunuhan, Brianna Ghey, 16.

Brianna dilahirkan sebagai lelaki tetapi dipercayai mengubah gaya hidup sebagai wanita sejak beberapa bulan lalu.

Brianna dipercayai tinggal bersama ibunya, seorang ahli teknologi pemakanan di Birchwood berdekatan dengan penempatan terpencil itu.

Bedah siasat Pejabat Dalam Negeri sudah dilakukan pada Ahad untuk mencari punca kematian, tetapi polis berkata, Brianna terbunuh akibat beberapa kesan tikaman pada badannya.

Bercakap kepada media pada petang Sabtu sebelum kematian itu disahkan sebagai pembunuhan, Ketua Detektif Inspektor Adam Waller berkata, pihaknya percaya kes itu tidak menjadi ancaman kepada orang lain.

Jurucakap Polis Cheshire berkata, pembunuhan itu juga tidak membabitkan jenayah kebencian, tetapi pihaknya 'terbuka' menerima status Brianna sebagai remaja transgender sebagai relevan dengan punca jenayah itu dilakukan.

Polis juga menyifatkan pembunuhan itu sebagai 'serangan bersasar' ke atas Brianna dan tidak jelas sama ada remaja itu mengenali penyerangnya.

Pihak berkuasa juga belum menemukan senjata pembunuhan dalam kes itu.

Pada petang Sabtu, orang awam menemukan mayat Brianna dengan kesan tikaman pada badannya di lokasi terpencil di Culcheth Linear Park.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 3:08 PM