ED LINSE. FOTO Agensi
ED LINSE. FOTO Agensi
Agensi

London: Padah menyerang ibu bapanya kerana berang menghantarnya ke sekolah berasrama 40 tahun lalu, seorang lelaki diletakkan di bawah perintah rawatan hospital mental.

Perkhidmatan Pendakwaan Crown (CPS) berkata, Ed Linse, 51, dari Watford, memukul bapanya, Nicholas Clayton, 85, dan ibunya Julia, 82, selepas memecah masuk rumah mereka di Nether Alderley, Cheshire, pada 22 April lalu.

Mahkamah Crown Chester mendengar, Linse mempunyai hubungan yang bermasalah dengan ibu bapanya sepanjang hayatnya walaupun dia berhadapan banyak isu kewangan, namun ibu bapanya cuba membantunya.

Ibu Linse memberitahu mahkamah, Linse kerap bercakap mengenai rasa tidak senangnya apabila dia dihantar ke sekolah berasrama penuh semasa kecil iaitu kira-kira 40 tahun lalu.

Wanita itu berkata, sejak itu Linse bengang dan sentiasa mempunyai perasaan tidak senang terhadap mereka berdua.

Pendakwa Raya Kanan Crown, Angie Rowan berkata, Linse mendakwa membenci ibu bapanya kerana menghantarnya ke sekolah berasrama semasa kanak-kanak.

Katanya, walau apa pun isu di sekelilingnya, tertuduh berpendapat ibu bapanya sebagai pendera emosi dan penyebab masalah kewangan selama bertahun-tahun.

Dalam kejadian April lalu, Linse menyerang bapanya di dalam bilik tidur, menyebabkan warga emas itu parah di tangan, kepala dan telinga selain mengalami pendarahan otak.

Linse kemudian bergerak ke bilik ibunya, sebelum memukul kepalanya hingga mengakibatkan lebam di belakangnya.

Selepas serangan itu, dia melarikan dengan memadu kenderaan dan ibunya menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Polis menahan Linse di dalam keretanya berhampiran Woodstock, Oxfordshire.

Siasatan lanjut mendapati, Linse memberikan kenyataan 'samar-samar' dan kadangkala tidak jelas.

Pada 7 November mahkamah memutuskan, Linse menjalani perintah hospital berdasarkan laporan psikiatrinya.

Dia mengaku bersalah kerana niat mencederakan bapanya dan memukul ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 11:58 AM