Veran (dua dari kiri duduk)  ketika lawatan ke sebuah hospital swasta di Montredon-des-Corbieres, pada Khamis. FOTO AFP
Veran (dua dari kiri duduk) ketika lawatan ke sebuah hospital swasta di Montredon-des-Corbieres, pada Khamis. FOTO AFP
BERNAMA

Paris: Jurucakap kerajaan Perancis Olivier Veran pada Khamis menyeru golongan berisiko tinggi mendapatkan satu lagi suntikan penggalak menentang Covid-19 menjelang musim cuti.

Veran memberitahu stesen radio RMC-BFMTV, hanya 20 peratus daripada golongan berisiko tinggi menerima suntikan penggalak kedua susulan gelombang baharu Covid-19 dan wabak selesema kini melanda negara, lapor Xinhua.

"Jika anda berumur 60 tahun dan ke atas, jika anda menghidap penyakit atau jika anda kontak rapat dengan kumpulan rentan serta warga tua, dapatkan dos penggalak.

"Ia akan mengehadkan risiko komplikasi dan kemasukan ke hospital," kata bekas menteri kesihatan itu.

Setakat ini, terdapat laporan mengenai subvarian yang merebak dengan pantas di Perancis.

"Kemasukan ke unit rawatan rapi akibat jangkitan COVID-19 kini mencatatkan peningkatan 20 peratus, hingga melemahkan sistem kesihatan negara," katanya.

Pakar imunologi Perancis Brigitte Autran berkata, subvarian Omicron BA.5 yang menular di negara itu telah digantikan dengan subvarian BQ.1.1.

Agensi kesihatan awam Perancis mendedahkan bahawa hampir 70,000 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 11:18 AM