TIGA pelarian di bahagian kapal, Alithini II. FOTO EFE Canarias/Twitter
TIGA pelarian di bahagian kapal, Alithini II. FOTO EFE Canarias/Twitter
Agensi

Madrid: Pihak berkuasa pantai Sepanyol berjaya menyelamatkan tiga pelarian selepas menempuh 11 hari pelayaran dari Nigeria.

Pelarian itu bersembunyi di rudder atau kemudi pada sebuah kapal tangki yang tiba di Las Palmas, Kepulauan Canary, petang semalam.

Kepulauan Canary adalah wilayah milik Sepanyol di luar pantai di barat laut Afrika.

Menerusi gambar yang diedarkan di Twitter, ketiga-tiga penumpang berada di kemudi pada kapal tangki minyak dan kimia Alithini II.

Lokasi mereka berada pada bahagian kemudi kapal yang terletak di atas permukaan air.

Menurut Marine Traffic, sebuah laman pengesanan kapal, Alithini II yang berbendera Malta tiba, selepas pelayaran selama 11 hari dari Lagos di Nigeria.

Pengawal pantai berkata, pelarian itu dibawa ke pelabuhan dan dirawat oleh perkhidmatan kesihatan kerana dehidrasi dan hipotermia.

Dalam pada itu, seorang wartawan dan penasihat pelarian kepada kerajaan Kepulauan Canary, Txema Santana berkata, penemuan itu bukan kali pertama dan akan berpanjangan.

"Pelarian tidak selalunya mempunyai nasib sama," katanya menerusi Twitter.

Sejak pemeriksaan di laluan Mediterranean diperketatkan penghujung 2019, ketibaan pendatang di kepulauan itu selepas menyeberang secara berbahaya dari Afrika utara meningkat secara mendadak.

Pada Oktober 2020, empat orang bersembunyi di atas kapal tangki minyak dari Lagos, bersembunyi selama 10 hari sebelum mereka ditemukan polis ketika kapal itu berlabuh ke Las Palmas.

Data Sepanyol juga menunjukkan penghijrahan melalui laut ke kepulauan berkenaan melonjak 51 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Ribuan orang mati setiap tahun dalam pelayaran yang semakin berbahaya dengan penggunaan bot kayu atau bot kembung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 12:21 PM