VAS porselin, Tianqiuping. FOTO Maison Osenat
VAS porselin, Tianqiuping. FOTO Maison Osenat
Agensi

Paris: Sebuah vas berasal dari China, berjaya dijual dengan nilai hampir 8 juta Euro (RM36.73 juta) pada acara lelongan di Perancis.

Vas porselin, Tianqiuping itu dijual hampir 4,000 kali ganda daripada harga asalnya selepas pembeli yakin ia adalah artifak jarang jumpa.

Kakitangan syarikat lelongan terkejut tawaran itu diberikan kira-kira 30 pembida terutama yang datang sendiri dari China ke acara jualan di Fontainebleau itu.

Vas itu dijual dengan harga 7.7 juta Euro (RM35.35 juta) serta selepas ditambah dengan yuran penjual, harga pembelian terakhir dibayar pembeli ialah 9.12 juta Euro (RM41.87 juta).

Pasu itu ditawarkan seorang wanita yang tinggal di luar negara.

Wanita tidak dinamakan itu, belum melihat vas setinggi 54 sentimeter itu, tetapi mengatur urus supaya vas peninggalan ibunya itu dibawa dari rumah ibunya di Brittany ke Paris untuk dijual rumah lelong Osenat.

Dia memberitahu pakar rumah lelong itu, vas berkenaan sebenarnya adalah milik neneknya, seorang pengumpul Paris sebelum diserahkan kepada ibunya.

Wakil rumah lelong Osenat, Jean-Pierre berkata, dia pelik wanita itu tidak melihat langsung vas itu, namun terus melelongnya.

"Dia mewarisi vas itu daripada ibunya yang mewarisinya daripada neneknya yang juga pengumpul besar Paris pada abad lalu," katanya.

"Vas itu bertarikh abad ke-20 dan ini agak luar biasa. Sekiranya usianya lebih 200 tahun, ia akan menjadi artifak yang jarang jumpa," katanya.

Tianqiuping bermaksud sfera syurga dan menandakan bentuk vas iaitu porselin biru dan putih yang dilitupi enamel dan dihiasi dengan naga dan awan.

TAMAT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 1:06 PM