HMS Prince of Wales. FOTO Tentera Laut Diraja
HMS Prince of Wales. FOTO Tentera Laut Diraja
BERNAMA

London: Kapal perang terbesar UK rosak di luar pantai selatan England, lewat Ahad, baru selepas memulakan pelayaran ke AS.

Menurut Agensi Anadolu, HMS Prince of Wales, satu daripada dua kapal induk Tentera Laut Diraja, kekal berlabuh di Isle of Wight dengan siasatan mengenai kerosakannya dijalankan.

"Kapal HMS Prince of Wales berlabuh di Kawasan Latihan Pantai Selatan ketika siasatan terhadap isu mekanikal yang muncul dijalankan," lapor Anadolu memetik kenyataan Tentera Laut Diraja.

Kapal perang itu dijadualkan belayar ke AS, Kanada dan Caribbean, dan akan mengendalikan jet pejuang F-35 generasi kelima serta dron.

HMS Prince of Wales, yang mengetuai tugas kumpulan pengangkut, dikerahkan bersama kapal frigat, kapal tangki serta kumpulan helikopter dan dron.

Jet pejuang F-35 dijangka menyertai kapal itu apabila ia tiba di AS, tambahnya.

Sebelum memulakan pelayaran dan mengalami kerosakan, Pegawai Pemerintah Kapten Richard Hewitt dalam satu kenyataan berkata "HMS Prince of Wales yang akan berada di Atlantik untuk sepanjang tahun ini bukan saya akan memperluaskan had operasi kapal perang UK ini, selain ia juga akan mengukuhkan lagi hubungan rapat dengan sekutu terdekat kami."

Menurut beliau, kejayaan mengendalikan F35 Lightnings dan dron serta tuan rumah Forum Masa Depan Atlantik di atas kapal berkenaan adalah hasil dedikasi petugas di atas kapal yang kebanyakannya adalah penempatan pertama mereka dengan Tentera Laut Diraja," tambah Hewitt.

HMS Prince of Wales, seberat 65,000 tan metrik dan menelan belanja £3 bilion (US$3.5 bilion) untuk dibina, telah dirasmikan pada 2021 di bandar Portsmouth.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 3:32 PM