Antara 'Hunger Stones' yang boleh dilihat di Worms, Jerman. - FOTO Reuters
Antara 'Hunger Stones' yang boleh dilihat di Worms, Jerman. - FOTO Reuters
Agensi

Prague: Kemunculan 'batu kelaparan' atau 'Hunger Stones' menimbulkan keresahan penduduk Eropah terhadap kemungkinan berlakunya kemarau.

Batu berkenaan yang terletak di Elbe River, di Decin, Republik Czech.

Batu itu yang dipercayai mula wujud sejak 400 tahun lalu, adalah petanda kepada kejadian kemarau dengan ukiran yang memberi amaran berkaitan fenomena berkenaan.

Difahamkan, sekiranya ukiran itu dapat dilihat, ia bermakna penduduk negara itu berada dalam keadaan bahaya kerana penurunan paras sungai yang ketara.

NY Post melaporkan, walaupun ramai yang bimbang dengan kemunculan itu, sesetengah saintis berpendapat bahawa jenis kemarau yang diramalkan oleh batu ini tidak selalu menunjukkan bencana alam.

Malah, kemarau pada abad ke-21 tidaklah seteruk yang pernah dicatatkan dalam sejarah.

'Megadroughts' biasa berlaku sebelum Revolusi Perindustrian menurut kajian 2015 yang diterbitkan dalam Science Advances, lapor PJ Media.

Rekod sejarah menunjukkan bahawa kemarau 'lebih teruk, meluas, dan berpanjangan' di hemisfera utara, terutamanya antara abad ke-11 dan pertengahan ke-15, kata penyelidik.

Kali terakhir petanda hidrologi ini muncul adalah ketika kemarau 2018, dan sekali lagi pada 2015, kedua-dua insiden itu berlaku di Decin, Republik Czech, yang terletak kira-kira 60 batu di utara Prague.

Paras air di sana turun 114 sentimeter sebelum batu itu terdedah.

Wartawan Belanda, Olaf Koens membuat ciapan gambar minggu lalu (diambil pada 2018) mengenai batu-batu yang tidak menyenangkan itu.

Dia menggelar keadaan itu 'mengerikan'.

"Amaran mengerikan dari nenek moyang abad ke-15 kita mengenai kebuluran," tulisnya, menurut terjemahan bahasa Inggeris.

Pada 2013 sepasukan saintis menulis tentang sejarah kemarau di Czech, melaporkan bahawa batu yang dipersoalkan itu dipahat dengan 'tahun-tahun kesusahan dalam sejarah'.

"Ia menyatakan bahawa kemarau telah membawa hasil yang buruk, kekurangan makanan, harga tinggi dan kelaparan bagi orang miskin," menurut laporan itu.

Ukiran pada batu itu turut memaparkan tahun berlakunya kemarau iaitu pada 1417, 1616, 1707, 1746, 1790, 1800, 1811, 1830, 1842, 1868, 1892, dan 1893.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 5:21 PM