BANGKAI ikan berkenaan. FOTO Reuters
BANGKAI ikan berkenaan. FOTO Reuters
Agensi

Warsaw: Sekurang-kurangnya 10 tan metrik bangkai ikan dibawa keluar dari Sungai Oder yang mengalir di sepanjang sempadan Poland dengan Jerman, baru-baru ini.

Berikutan itu, pegawai memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak masuk ke dalam sungai itu yang kemungkinan sudah tercemar.

Portal Sky News memetik kenyataan Ketua Agensi Pengurusan Perairan Negara memaklumkan, pemancing dan sukarelawan mengeluarkan bangkai ikan, dari 200 kilometer (km) sungai di utara Olawa di barat daya Poland.

Ketua Syarikat Pengurusan Air Negeri, Przemyslaw Daca menggelar situasi itu sebagai malapetaka ekologi yang besar.

Sementara itu, Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki berikrar untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Ia selepas pihak berkuasa alam sekitar memberitahu pendakwa raya mengenai risiko pencemaran sungai kedua terpanjang di negara itu.

Ewa Drewniak, ahli biologi yang bekerja dengan kumpulan politik pembangkang menuduh kerajaan tidak bertindak balas dengan cekap.

"Bangkai ikan ada di Sungai Oder sejak dua minggu lalu dan orang ramai tidak dimaklumkan mengenainya.

"Saya melihat puluhan orang mandi di sungai sejak lebih seminggu yang lalu, mereka tidak menyedari bahaya,," katanya.

Pihak berkuasa perlindungan alam sekitar serantau di bandar Wroclaw di Poland berkata, sampel air Sungai Oder yang diambil pada 28 Julai menunjukkan kebarangkalian 80 peratus bahawa ia mengandungi mesitilena iaitu bahan toksik.

Bagaimanapun, bahan sama tidak terdapat dalam sampel yang diambil selepas 1 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:22 PM