CACAR monyet. FOTO fail AFP
CACAR monyet. FOTO fail AFP
BERNAMA

The Hague: Bilangan kes cacar monyet yang menjangkiti manusia meningkat kepada enam di Belanda, umum Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RIVM) pada Isnin.

Kes pertama disahkan pada Jumaat lepas, lapor Xinhua.

"Sebahagian kes membabitkan pengunjung yang menghadiri festival Darkland di Belgium dan terdiri daripada lelaki yang mengadakan hubungan sejenis," menurut RIVM.

RIVM meminta kontak rapat untuk melakukan kuarantin kendiri dan vaksinasi hanya akan ditawarkan di Perkhidmatan Kesihatan Perbandaran kepada mereka yang berisiko tinggi dijangkiti.

Sementara itu, Maghribi pada Isnin turut mengesan tiga kes yang disyaki membabitkan jangkitan cacar monyet.

Ketiga-tiga kes itu kini dalam pemantauan dan pesakit berada dalam keadaan sihat serta melalui analisis perubatan, menurut Kementerian Kesihatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengesahkan kes cacar monyet di 12 negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Britain, Sepanyol, Portugal, Jerman, Belgium, Itali, Belanda, Perancis dan Sweden.

Kes berkenaan tidak termasuk 21 negara di benua Afrika yang penyakit itu sudah pun dianggap endemik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 10:34 AM