TIUB ujian virus cacar monyet berlabel positif. FOTO Reuters
TIUB ujian virus cacar monyet berlabel positif. FOTO Reuters
Reuters

London: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) percaya wabak cacar monyet di luar Afrika tidak memerlukan vaksinasi besar-besaran kerana langkah seperti kebersihan yang baik dan tingkah laku seksual yang selamat akan membantu mengawal penularannya, kata seorang pegawai kanan pada Isnin.

Richard Pebody, yang mengetuai pasukan patogen ancaman tinggi di WHO Eropah memberitahu Reuters, bekalan segera vaksin dan antivirus adalah agak terhad.

Beliau memberitahu perkara itu ketika Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) berkata ia dalam proses mengeluarkan beberapa dos vaksin Jynneos untuk digunakan dalam kes berkenaan.

Kerajaan Jerman pada Isnin berkata, ia sedang menilai pilihan untuk vaksinasi, sementara Britain menawarkannya kepada beberapa kakitangan penjagaan kesihatan.

Pihak berkuasa kesihatan awam di Eropah dan Amerika Utara sedang menyiasat lebih 100 kes yang disyaki dan disahkan jangkitan virus dalam wabak terburuk di luar Afrika.

Pebody berkata, langkah utama untuk mengawal wabak adalah pengesanan kontak dan pengasingan, sambil menyatakan bahawa ia bukan virus yang merebak dengan sangat mudah dan setakat ini, tidak menyebabkan penyakit serius.

Katanya, vaksin yang digunakan untuk memerangi cacar monyet boleh mempunyai beberapa kesan sampingan yang ketara.

Tidak jelas punca wabak itu dan saintis cuba memahami asal usul kes dan sama ada apa-apa mengenainya yang berubah.

Seorang eksekutif kanan di agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Isnin, tiada bukti virus itu bermutasi.

"Kebanyakan kes yang disahkan tidak dikaitkan dengan perjalanan ke Afrika, yang menunjukkan mungkin terdapat sejumlah besar kes yang tidak dapat dikesan," kata Pebody.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 9:56 AM