GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Seorang pekerja penjagaan kesihatan dilaporkan diuji positif untuk strain omicron koronavirus hanya 20 hari selepas mendapat jangkitan disebabkan varian Delta, menurut penyelidik Sepanyol.

Portal CNBC melaporkan, kajian kes wanita berusia 31 tahun itu yang sudah divaksin sepenuhnya dan menerima suntikan dos penggalak itu akan dibentangkan penyelidik pada Kongres Eropah Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit tahun ini, yang dijadual berlangsung di Portugal.

Perbezaan 20 hari antara jangkitan adalah yang paling singkat, setakat ini.

Wanita itu pertama kali diuji positif pada 20 Disember tahun lalu dalam ujian saringan ketika pemeriksaan di tempat kerjanya.

Pesakit yang tidak mengalami sebarang gejala itu kemudian mengasingkan diri selama 10 hari, sebelum kembali bekerja.

Pada 10 Januari lalu, hanya 20 hari selepas ujian pertama positif, dia mengalami batuk, demam dan rasa tidak sihat serta melakukan ujian PCR yang lain dan didapati positif.

Penjujukan genom keseluruhan menunjukkan pesakit dijangkiti dua jenis Covid-19 yang berbeza.

Jangkitan pertama wanita itu adalah dengan varian Delta, manakala yang kedua pula varian Omicron yang lebih mudah ditularkan dan dikenal pasti sebagai varian membimbanglan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada November tahun lalu.

Salah seorang penyelidik, Dr Gemma Recio dari Institut Catala de Salut di Tarragona di Sepanyol berkata, kes itu menyerlahkan potensi varian omicron untuk mengelak imuniti sebelumnya yang diperoleh sama ada daripada jangkitan semula jadi dengan varian lain, atau daripada vaksin.

"Dalam erti kata lain, orang yang menghidap Covid-19 tidak boleh menganggap mereka dilindungi daripada jangkitan semula, walaupun mereka diberi vaksin sepenuhnya.

"Bagaimanapun, kedua-dua jangkitan sebelumnya dengan varian lain dan vaksinasi nampaknya melindungi sebahagian daripada penyakit teruk dan kemasukan ke hospital pada mereka yang mempunyai Omicron," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 8:32 AM