Michael Ryan. FOTO Reuters.
Michael Ryan. FOTO Reuters.
AFP

Geneva: Hari ini genap dua tahun sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar Covid-19 sebagai pandemik yang meragut lebih enam juta nyawa dan menjangkiti sekurang-kurangnya 450 juta penduduk dunia.

Namun, WHO menyuarakan kekecewaannya terhadap orang ramai, menegaskan hanya segelintir pihak sahaja yang peduli dan bertindak terhadap ancaman, meskipun amaran dikeluarkan enam minggu lebih awal daripada tarikh 11 Mac 2020.

WHO mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) - amaran tahap tinggi dalam peraturan kesihatan global - pada 30 Januari 2020 ketika kurang 100 kes dan tiada kematian dilapor di luar China.

Hanya selepas Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan situasi buruk itu sebagai pandemik pada 11 Mac, barulah banyak negara tersedar akan bahayanya Covid-19.

Ulang tahun ini tidak bertanda, tetapi selepas dua tahun, WHO masih kesal kerana kerajaan tidak mengendahkan amaran awal.

"Dunia dirasuk dengan perkataan pandemik. (Sedangkan) Amaran pada Januari lebih penting daripada pengumuman (pandemik) pada Mac.

"Anda mahu amaran mengatakan anda baru sahaja lemas atau mahukan amaran yang banjir akan melanda?" kata Pengarah Kecemasan Kesihatan WHO Michael Ryan.

Bercakap dalam sesi interaksi secara langsung di saluran media sosial WHO semalam, beliau berkata, perisytiharan PHEIC seakan tidak diberi perhatian langsung.

"Orang tidak dengar. Kami sudah membunyikan loceng tetapi orang tidak bertindak.

"Apa yang mengejutkan saya adalah kurangnya respons, tindakan segera berhubung tahap kewaspadaan tertinggi WHO dalam undang-undang antarabangsa, seperti yang dipersetujui oleh semua negara anggota. Mereka bersetuju dengan ini!" katanya.

Menurutnya, deklarasi pandemik hanya menyatakan keadaan yang sudah jelas berlaku dan menegaskan negara telah dimaklum dengan banyaknya notis amaran awal.

"Ramai orang media dan di mana sahaja orang bertelagah, kata WHO lambat mengisytihar pandemik. Tidak!

"Dunia sudah diberi cukup amaran mengenai wabak yang mendatang. Menjelang Mac, saya rasakan kekecewaan yang ketara, sehingga kata, 'OK anda mahukan pandemik, inilah pandemik anda'," katanya

Pada 11 Mac 2020, jumlah kes di luar China meningkat 13 kali ganda, dengan lebih daripada 118,000 orang telah dijangkiti wabak itu di 114 negara, dan 4,291 orang meninggal dunia, diikuti lonjakan kematian di Itali dan Iran.

Ryan berada di sisi Tedros ketika pengumuman pandemik dibuat sekitar 5.30 petang, bersama Maria Van Kerkhove yang mengetuai pasukan teknikal WHO bagi Covid-19.

Maria berkata, hari ini orang ramai menanda 'ulang tahun yang salah'.

"Asasnya betul, tetapi anda boleh dengar kekecewaan dalam suara kami kerana kami masih belum membetulkan naratif. Ia akan berlaku lagi! Jadi bila kita mahu belajar sebenarnya?" katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 2:45 PM