ANGGOTA polis menjalani ujian saringan Covid-19 di Lima, Peru. FOTO AFP
ANGGOTA polis menjalani ujian saringan Covid-19 di Lima, Peru. FOTO AFP
AFP

Geneva: Varian Omicron sangat berbahaya terutama kepada individu yang belum mengambil vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, lonjakan kes mendadak di seluruh dunia adalah disebabkan Omicron, yang mudah menular berbanding varian Delta.

"Walaupun Omicron menyebabkan penyakit ringan berbanding Delta, namun ia tetap virus berbahaya terutama kepada mereka yang tidak divaksin.

"Kita tak boleh membiarkan virus ini atau mengibarkan bendera putih terutama apabila ramai di seluruh dunia masih belum divaksin.

"Majoriti pesakit yang masuk ke hospital adalah mereka yang tidak disuntik," katanya dalam sidang media, semalam.

Bagaimanapun, Tedros memberi amaran, walaupun vaksin berkesan mencegah kematian dan penyakit lebih teruk disebabkan Covid-19, namun ia tidak mampu menghalang penularan sepenuhnya.

Lebih 15 juta kes sepanjang minggu lalu dilaporkan kepada WHO dengan jutaan kes lagi tidak direkodkan.

Namun, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menegaskan tidak perlu mengalah dengan varian itu sekali gus menolak tanggapan ia menjadi saluran penamatan pandemik ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 9:56 AM