PETUGAS kesihatan memantau pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Massachusetts, Amerika Syarikat. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan memantau pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Massachusetts, Amerika Syarikat. FOTO AFP
BERNAMA

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan kuarantin 14 hari walaupun terdapat individu yang sudah pulih daripada Covid-19 dalam tempoh lima hingga tujuh hari daripada permulaan simptom.

Pasukan Sokongan Pengurusan Insiden Covid-19 WHO Abdi Mahamud berkata, bagaimanapun, ia bergantung kepada setiap negara untuk membuat keputusan mengenai tempoh kuarantin berdasarkan situasi masing-masing.

Di negara yang mempunyai jangkitan rendah, tempoh kuarantin yang lebih lama boleh membantu mengekalkan bilangan kes serendah mungkin, jelasnya.

Di tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, kuarantin yang lebih pendek mungkin wajar untuk memastikan negara dan ekonomi berjalan, tambahnya.

Pegawai WHO memberitahu wartawan, adalah mungkin untuk seseorang dijangkiti oleh influenza dan Covid-19, pada masa yang sama.

Bagaimanapun, memandangkan kedua-duanya adalah virus berasingan yang menyerang badan dengan cara berbeza, terdapat 'sedikit risiko' daripada ia bergabung menjadi virus baharu.

Menurut WHO, setakat 29 Disember lalu, kira-kira 128 negara melaporkan kes varian Omicron.

Di Afrika Selatan yang menyaksikan peningkatan mendadak dalam kes diikuti dengan penurunan yang agak cepat, kemasukan ke hospital dan kadar kematian, kekal rendah.

Bagaimanapun, keadaan tidak akan sama di negara lain, kata Mahamud.

"Walaupun kajian terkini semuanya menunjukkan fakta varian Omicron memberi kesan kepada sistem pernafasan atas dan bukannya paru-paru, ini adalah berita baik, tetapi individu berisiko tinggi dan yang tidak divaksinasi masih boleh mendapat sakit teruk daripada varian itu," tambahnya.

Mahamud berkata, varian Omicron boleh mengatasi strain lain dalam masa beberapa minggu terutamanya di kawasan yang mempunyai sejumlah besar orang yang mudah terdedah terutamanya mereka yang tidak divaksinasi.

Di Denmark, katanya, ia mengambil masa dua minggu untuk jumlah kes meningkat dua kali ganda dengan varian Alpha, manakala bagi varian Omicron, ia hanya mengambil masa dua hari.

"Dunia tidak pernah melihat virus yang boleh disebarkan seperti itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 1:05 PM