PESERTA memakai kostum berlari ke arah laut pada hari pertama Tahun Baharu sempena kutipan amal dana  di South Bay, Scarborough, England.
PESERTA memakai kostum berlari ke arah laut pada hari pertama Tahun Baharu sempena kutipan amal dana di South Bay, Scarborough, England.
BERNAMA

London: Britain melaporkan 162,572 kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus di negara itu kepada 13,100,458, menurut angka rasmi yang dikeluarkan Sabtu, lapor Xinhua.

Britain juga melaporkan 154 lagi kematian berkaitan koronavirus iaitu menjadikan jumlah keseluruhan 148,778, dengan 11,918 pesakit Covid-19 masih di hospital.

Data pada Sabtu itu tidak termasuk Scotland, Wales dan Ireland Utara disebabkan perbezaan dalam jadual pelaporan pada hujung minggu berikutan Tahun Baharu.

Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid berkata sekatan selanjutnya mesti menjadi 'pilihan terakhir' dan Britain kini perlu 'hidup bersama' virus itu pada 2022.

Setiausaha kesihatan itu, yang menulis dalam Daily Mail, berkata England 'menyambut 2022 dengan kurang sekatan di Eropah'.

"Sekatan terhadap kebebasan kita mesti menjadi pilihan terakhir yang mutlak dan rakyat Britain sememangnya mengharapkan kita melakukan segala-galanya untuk mengelak ia berlaku.

"Jadi saya bertekad bahawa kita mesti memberi diri kita peluang terbaik untuk hidup bersama virus dan mengelakkan mengenakan langkah ketat pada masa depan," katanya.

Javid menambah bahawa ia tidak dapat dielakkan dan pesakit Covid-19 akan meningkat sepanjang bulan depan serta turut memberi amaran bahawa wabak itu 'masih jauh untuk berakhir'.

Beliau juga memberi amaran bahawa gelombang jangkitan Omicron akan memecahkan rekod serta bakal 'menguji' Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) pada musim sejuk ini.

Lebih daripada 90 peratus individu berusia 12 tahun dan ke atas di Britain sudah mendapat dos pertama vaksin mereka dan lebih daripada 82 peratus menerima kedua-dua dos, menurut angka terkini.

Lebih daripada 59 peratus sudah menerima suntikan penggalak, atau dos ketiga vaksin.

Untuk memulihkan kehidupan normal, negara seperti Britain, China, Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat berlumba dengan masa untuk memastikan vaksin diberi segera kepada rakyatnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 4:12 PM