JENTERA bomba dan kenderaan polis dikejarkan ke lokasi. FOTO AFP
JENTERA bomba dan kenderaan polis dikejarkan ke lokasi. FOTO AFP
AFP

Berlin: Empat cedera, manakala seorang parah selepas bom Perang Dunia II meletup di tapak pembinaan berhampiran stesen kereta api utama Munich, semalam.

Pekerja pembinaan menggerudi ke dalam tanah apabila bom itu meletup, kata jurucakap bomba dalam satu kenyataan.

Letupan itu kedengaran beberapa kilometer jauhnya dan bertaburan serpihan ratusan meter, menurut laporan media tempatan.

Imej menunjukkan kepulan asap naik terus di sebelah landasan kereta api.

Pengendali kereta api Deutsche Bahn menggantung perkhidmatannya di laluan yang terjejas.

Menurut perkhidmatan bomba, letupan berlaku berhampiran jambatan utama yang wajib dilalui oleh semua kereta api dari stesen itu.

Kira-kira 75 tahun selepas perang, Jerman masih dipenuhi dengan senjata yang tidak meletup, sering ditemukan semasa kerja pembinaan.

Bagaimanapun, kebanyakan bom berjaya dimusnahkan pakar sebelum ia meletup.

Tahun lalu, tujuh bom Perang Dunia II ditemui di lokasi kilang Eropah pertama Tesla di luar Berlin.

Bom yang besar juga dimusnahkan di Cologne dan Dortmund tahun lalu.

Pada 2017, penemuan bom seberat 1.4 tan di Frankfurt menyebabkan 65,000 orang dipindahkan, antara operasi terbesar sejak tamat perang di Eropah pada 1945.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 9:38 AM